Kerajaan ambil langkah penjimatan berkuat kuasa serta-merta

PUTRAJAYA – Semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun dan syarikat jaminan kerajaan (CLBG) diarah melakukan penjimatan dengan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon menerusi laporan Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam berkata, perbelanjaan bagi bantuan dan subsidi diunjurkan mencecah RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan RM31 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2022.

“Dengan itu, kerajaan seharusnya melaksanakan langkah penjimatan perbelanjaan bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.



“Program dan aktiviti yang dirancang perlu disusun semula dengan sasaran sekurang-kurangnya lima peratus penjimatan daripada baki pe-runtukan mengurus tahun ini.

“Pastikan tidak membuat trade-off ke atas program dan aktiviti yang fokuskan kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam dokumen sembilan muka surat dikeluarkan pada Jumaat.

Jelas beliau, ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan geopolitik antarabangsa telah mengakibatkan tekanan inflasi tinggi, ditambah dengan harga komoditi global dan makanan yang meningkat mendadak.

“Perkembangan ini menjejaskan pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup,” kata beliau.



Menurutnya, pelaksanaan subsidi barangan perlu dan kawalan harga dilakukan kerajaan bagi mengurangkan impak inflasi dunia kepada negara serta rakyat.

“Peningkatan subsidi sedia ada terutama produk petroleum dan minyak masak serta subsidi baharu seperti elektrik dan ayam telah menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Asri dalam laporan itu turut menekankan agar pengurusan perjawatan dilaksanakan dengan mengambil kira keutamaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.

Ujarnya, pewujudan jawatan baharu tidak dibenarkan kecuali melalui kaedah tukar ganti dan pindah butiran serta tiada implikasi kewangan tambahan.



“Pewujudan jawatan baharu bagi jawatan kritikal yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil negara perlu dilaksanakan dengan kawalan ketat,” katanya.

Tambah beliau, perbelanjaan bagi kerja lebih masa hendaklah dikawal.

“Ketua jabatan, agensi dan pegawai yang mengarahkan kerja lebih masa hendaklah berpuas hati bahawa ia benar-benar penting untuk disiapkan atau dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, arahan kerja lebih masa hendaklah dikeluarkan secara bertulis sebelum sesuatu tempoh kerja lebih masa dimulakan.



“Pertukaran pegawai ke luar stesen turut ditangguhkan kecuali dalam keadaan tertentu yang penting dan mendesak atas kepentingan perkhidmatan,” katanya.

Selain itu, Asri berkata, bagi perjalanan tugas rasmi ke luar negara, ia hanya dibenarkan sekiranya mesyuarat, persidangan atau rundingan berjadual itu telah diluluskan dalam belanjawan tahunan yang memberi impak signifikan kepada kepentingan negara.

Menurutnya, Perbendaharaan turut mengehadkan bilangan pegawai yang menyertai tugas rasmi ke luar negara kepada dua orang bagi negara mempunyai pejabat perwakilan Malaysia dan tiga orang bagi negara tidak mempunyai pejabat perwakilan.

Bagi mengawal perbelanjaan pembangunan, projek-projek yang belum dimulakan proses perolehan atau diiklankan hendaklah dikaji semula keutamaannya.



“Bagi projek bukan keutamaan yang telah dikenal pasti hendaklah ditangguhkan kecuali mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat.

Namun, kementerian, jabatan dan badan-badan berkanun Persekutuan hendaklah meneruskan proses pra-perolehan yang tiada implikasi kewangan seperti perancangan, membuat reka bentuk, kebenaran merancang, menyelesaikan urusan berkaitan tanah atau tapak projek dan sebagainya,” katanya.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Tangkapan ikan gergasi ‘oarfish’ cetus kepercayaan gempa dahsyat bakal menyusul

Ambulans terbalik dilanggar jururawat

PH silap besar bila iktiraf tuntutan Sulu – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker