Pencen untuk bekas tentera, jangan samakan dengan ahli Parlimen – JHEV

Pencen untuk bekas tentera, jangan samakan dengan ahli Parlimen – JHEV

Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) menempelak tindakan sesetengah pihak yang mahu pencen diberikan kepada semua bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berhenti pada tempoh kurang 21 tahun perkhidmatan.

Ketua Pengarah JHEV, Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, tidak wajar membuat perbandingan perkhidmatan sebagai tentera dengan anggota kerajaan yang lain.

“Mereka katakan, mengapa ahli Parlimen yang berkhidmat lima tahun ada pencen, atlet yang mewakili negara ada pencen, tetapi mereka yang berkorban demi negara tidak dapat.

“Mengikut Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah Lain) 1982 sudah menyatakan, pencen akan diberikan kepada mereka yang layak setelah mencapai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 21 tahun,” katanya dalam satu sesi taklimat bersama pengarang, semalam.

Jelasnya bagi tempoh yang kurang daripada itu tidak melayakkan mereka menerima pencen.

“Ada yang berkhidmat untuk tempoh 12, 15 dan 18 tahun dan berhenti sendiri atau diberhentikan atas dasar kepentingan perkhidmatan (tidak memenuhi syarat).

“Mengenai tuntutan bekas tentera yang berhimpun baru-baru ini juga sebenarnya adalah perkara yang sudah dibangkitkan oleh JHEV sebelum ini.

“Perkara itu sudah kami mulakan sejak 2019, cuma ketika itu Covid-19. Tetapi kerajaan ketika itu ada memberikan pemberian ‘one-off’ kepada bekas tentera ini bagi mengurangkan beban.

“Tahun 2020 memang kita tak dapat kerana pemberian diberikan kepada anggota polis kemudian tahun 2021 memang tak ada dan kita sedang usahakan untuk tahun ini,” katanya.

Beliau menambah, peluang untuk bekas tentera mendapat pencen tidak akan ada tetapi pihaknya akan mencuba sebaik mungkin membantu.

“Bekas tentera ini juga dapat manfaat yang sama dengan veteran berpencen cuma banyak perkara mereka uruskan sendiri bukan JHEV.

“Wajar untuk Kementerian Pertahanan mengekalkan peraturan sedia ada pemberian pencen kepada bekas tentera,” katanya.

Jelasnya, ia akan dilihat tidak adil kepada veteran yang memenuhi syarat dan bagi mereka yang tidak.

Kenyataan Dzulkarnain itu sekali gus menolak tuntutan daripada bekas tentera yang berhimpun pada 6 Jun lalu di Tugu Negara yang menuntut pemberian pencen diberikan kepada bagi yang tidak berpencen.

Berdasarkan rekod JHEV sehingga Jun 2022, seramai 76,424 bekas tentera tidak berpencen di negara ini.

“Ada juga yang berkhidmat 10 tahun, berhenti kerana mendapat kerja lain dan bertukar alamat, hingga anak-anak mereka tidak tahu ayah mereka bekas askar,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkarnain turut meminta veteran yang pernah berkhidmat dahulu agar tampil membuat kemas kini data.

“Kita ada data, tetapi ia lama. Apabila wang pencen nak diberikan, bank tolak kerana nombor akaun tidak ada lagi dan alamat sudah bertukar.

“Jadi, kita mohon mereka atau wakil tampil untuk membuat semakan dan menerima wang pencen,” jelasnya.

Katanya lagi, sekurang-kurangnya 30,000 hingga 40,000 veteran tentera tidak berdaftar dengan JHEV sehingga kini.

“Sayanglah kalau mereka layak menerima pelbagai manfaat tetapi tidak mahu berdaftar.

“Segeralah ke JHEV atau cawangan JHEV di seluruh negara untuk kemas kini data dan sahkan status veteran supaya bantuan selayaknya dapat diberikan kepada mereka,” katanya.

Berdasarkan data terkini, katanya, seramai 105,893 veteran berpencen daripada keseluruhan 182,317 veteran ATM berada dalam rekod JHEV.

Daripada jumlah itu, seramai 38,092 veteran berpencen dan 40,578 veteran tidak berpencen berusia 60 tahun ke atas manakala 80 peratus daripada jumlah keseluruhan veteran adalah golongan B40. MG

Pencen untuk bekas tentera, jangan samakan dengan ahli Parlimen – JHEV


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


SM Faisal tuntut harta sepencarian terhadap bekas isteri

Nora buat pembedahan besarkan payu dara

Yazmin Aziz cium pemain bolasepak Kelantan

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker