Dalam kebun getah pun boleh…

Kebiasaannya pasangan pengantin akan memilih pelbagai lokasi menarik untuk penggambaran ‘out door’ seperti taman rekreasi, pantai atau studio bagi mengabdikan memori perkahwinan.

Namun, berbeza dengan Zainatulaishah Abdul Manap, 30, dan suami, Mohammad Farhanif Kamaruddin, 27, yang memilih lokasi penggambaran dalam kebun getah di kampung halamannya di Bukit Gambir, Tangkak, Johor.

Siapa sangka gambar perkahwinan di lokasi itu tular selepas dikongsi jurugambarnya, Ahmad Fardaus Yahaya, 30, di Facebook sehingga dikongsi lebih 2,000 pengikut.

Zainatulaishah berkata, keputusan itu dibuat berikutan tidak mahu mengambil risiko sehingga menyumbang kepada penularan wabak Covid-19.



“Kami melangsungkan pernikahan di Pejabat Kadi Daerah Tangkak pada 20 Disember lalu dan ia sepatutnya dibuat di rumah ibu bapa saya, namun lokasi ditukar atas arahan pejabat agama.

“Selepas pulang dari Pejabat Kadi, kami adakan majlis kecil-kecilan dihadiri kurang 50 tetamu daripada kedua-dua belah keluarga dan adakan sesi fotografi itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dia yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Sains, Fakulti Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, konsep melakonkan semula pernikahan di kebun getah milik ibu di belakang rumah itu adalah idea daripada jurugambar yang juga rakannya sejak kecil.



Katanya, pada mulanya, dia memilih lokasi itu kerana ia luas dan boleh bergambar beramai-ramai bersama tetamu yang hadir.

“Namun, jurugambar saya tampil dengan idea unik untuk melakonkan semula akad nikah yang dijalankan di Pejabat Kadi.

“Abang ipar dan keluarga lelaki lain bekerjasama menjayakan idea itu dengan membantu mengangkat set pelamin, meja dan kerusi agar dapat menimbulkan suasana seperti majlis akad nikah sebenar,” katanya.

Zainatulaishah berkata, perkenalan awal dia dan suaminya adalah atas cadangan ibunya.



“Usia saya sudah 29 tahun ketika awal perkenalan itu dan saya menyuruh ibu mencarikan calon.

“Bermula dengan berkenalan di aplikasi WhatsApp, berjumpa dan seterusnya saya setuju ke jenjang pelamin bersamanya,” katanya yang merancang bersanding pada Mac tahun depan jika situasi Covid-19 semakin pulih.

Sementara itu, Ahmad Fardaus berkata, pada awalnya dia tidak yakin dengan lokasi penggambaran di kebun itu akan menghasilkan gambar yang cantik dan menarik.

“Saya ingat kebunnya penuh semak samun dan daun, tetapi rupanya ia diuruskan dengan sangat bersih dan cantik.



“Konsep fotografi lakonan semula akad nikah itu biasa, namun itulah kali pertama pasangan mahu bergambar di kebun sendiri,” katanya.

Ahmad Fardaus yang juga penjawat awam berkata, dia bekerja sebagai jurugambar perkahwinan sejak lima tahun lalu dan menjadikannya pendapatan sampingan.

Katanya, sejak hasil gambar perkahwinan yang diambilnya itu tular, dia menerima banyak mesej daripada pelanggan.

“Selepas perkongsian itu mendapat perhatian warganet, ramai mengecam kerana majlis itu dibuat seperti tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).



“Tetapi sebenarnya pihak pengantin sudah menyediakan kod QR MySejahtera dan pemeriksaan suhu badan kepada semua tetamu dalam majlis kecil-kecilan itu,” katanya. HM

10,000 hadir majlis kahwin pandu lalu anak Ku Nan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker