10,000 hadir majlis kahwin pandu lalu anak Ku Nan

Kira-kira 10,000 jemputan hadir memeriahkan majlis perkahwinan anak lelaki Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang diadakan dengan konsep pandu lalu di Dataran Putrajaya, Presint 3 hari ini.

Majlis perkahwinan yang bertemakan adat Jawa itu diadakan di atas pentas khas yang didirikan di hadapan bangunan Istana Kehakiman bermula jam 11 pagi hingga 2 petang.

Para tetamu yang hadir melalui jalan Dataran Putrajaya berpeluang melihat pasangan pengantin Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan dan Oceane Cyril Alagia melambaikan tangan dari pentas dan kemudian mengambil juadah makanan yang disediakan di khemah khas secara panda lalu.


Tengku Muhammad Hafiz berkata beliau dan keluarga berterima kasih kepada semua tetamu yang hadir memeriahkan majlis tersebut walaupun diadakan secara norma baru.

“Konsep majlis ini diadakan adalah cetusan idea daripada ayah saya sendiri, Tengku Adnan yang mahu majlis ini turut diraikan bersama seluruh warga Putrajaya yang saya anggap sebagai keluarga saya sendiri kerana telah membesar di sini sejak kecil,” katanya.


Beliau yang sedang menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran di Indonesia berkata majlis tersebut dilaksana dengan mematuhi prosedur operasi standard dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dalam usaha mengawal pandemik Covid-19.

“Saya amat bersyukur dan gembira kerana majlis ini berjalan lancar dan meriah walaupun diadakan secara berlainan daripada kebiasaan,” katanya.

Acara tersebut juga dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan masyarakat Jawa dan artis tempatan yang turut disiarkan di skrin besar di tepi pentas berkenaan.
Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker