Bekas wartawan Malaysia dipilih datuk bandar New Zealand kali kedua

Agak sukar bagi seorang pendatang asing berbangsa India dari Malaysia bersaing dengan calon kulit putih dalam pilihan raya merebut jawatan datuk bandar di New Zealand.

Namun, tidak bagi K Gurunathan yang dilahirkan di Pulau Pinang. Selepas memenangi pilihan raya di bandar Kapiti Coast pada 2016, beliau berjaya mempertahankan jawatan itu awal tahun ini, satu bentuk sokongan terhadap kepemimpinannya di negara itu.

Bekas wartawan itu mengaitkan kejayaannya kepada masyarakat yang mengiktiraf bakat tanpa mengira warna kulit atau kepercayaan, rekod prestasi dan meritokrasi, sesuatu yang perlu dicontohi rakyat Malaysia.

Gurunathan antara ramai rakyat Malaysia yang berjaya menarik perhatian media tempatan akhir-akhir ini dengan kejayaan mereka di luar negara.



Beliau yang lebih mesra dipanggil Guru merasakan keputusan itu adalah pengesahan terhadap kesahihan penggalnya terdahulu, dan keyakinan masyarakat untuk menunjukkan etnik, bangsa atau agama perlu mengatasi semua halangan.

“Ternyata, mereka suka calon yang menunaikan janji kempen mereka dan mampu mengubah kehidupan rakyat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Bapa kepada tiga anak itu tidak asing lagi dengan arena politik. Di Malaysia, beliau ialah penyunting buletin DAP, The Rocket pada akhir 1980-an, zaman di mana ia diedarkan secara meluas.

Ini berlaku ketika Ops Lalang pada Oktober 1987, yang menyaksikan lebih 100 ahli politik dan aktivis ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri. Empat surat khabar juga ditutup ketika itu.



Guru, 66, memulakan kerjayanya dalam bidang media sebagai ketua wartawan pada 1983 dengan The National Echo berpangkalan di Pulau Pinang yang dibubarkan kini. Beliau kemudiannya menyunting The Rocket sebelum menyumbang artikel kepada New Straits Times sebagai pengulas politik.

Beliau berkhidmat dengan The Sun sebelum berangkat ke Wellington bersama isterinya yang merupakan warga New Zealand, Claire dan dua anak kecilnya pada 1995. Mereka mempunyai tiga anak – Jessie Gayathri, 36, Ravi, 32, dan Ari, 22.

Di New Zealand, beliau berkhidmat untuk sebuah akhbar tempatan, The Kapiti Observer dari 1995 hingga 2008 dan kemudian Kapiti News, di mana kolumnya “Notes from a Corner Dairy” menjadi bahan wajib dibaca.

“Tajuk itu menimbulkan kekecohan kerana ia lazim untuk pendatang berbangsa India ke New Zealand memiliki kedai runcit.



“Kaitan itu sering dijadikan gurauan perkauman. Saya menggunakannya sebagai psikologi terbalik bagi mengatasi perkauman.”

Guru berkata, mesej utama beliau dalam kempennya ialah membentuk sebuah PBT yang terbuka, telus dan bertanggungjawab, serta sebagai pendatang dan komuniti minoriti bukannya isu.

“Berkahwin dengan warga New Zealand juga mungkin membantu.”

Katanya, kemenangan itu disebabkan rekod prestasinya sebagai ahli majlis selama dua penggal sejak 2010 dan datuk bandar sepenggal selama tiga tahun.



Lepasan ijazah sarjana sains politik Universiti Victoria di Wellington itu, berkata beliau mempunyai pemahaman sangat baik mengenai isu tempatan.

“Kapiti merupakan rumah saya selama 30 tahun. Hari paling menyedihkan dan menggembirakan saya adalah ketika menjadi warganegara New Zealand.

“Paling menyedihkan kerana tanah air saya tidak menerima dwi kerakyatan, jadi saya terpaksa melepaskan kewarganegaraan Malaysia saya. Saya bersyukur Kapiti Coast memberi berkat kepada keluarga saya.”

Ditanya jika beliau merindui tanah air, Guru berkata, beliau tidak rindu pertikaian politik perkauman dan agama di Malaysia.



“Saya sedih kerana ia (Malaysia) berubah menjadi negara yang memperjuangkan ketuanan kaum dan agama sepanjang masa. Apa saja yang dilakukan adalah demi kuasa politik dan tidak mengutamakan rakyat. FMT

Ini rahsia pilihan raya New Zealand berlangsung tanpa lonjakan kes COVID-19



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker