Ini rahsia pilihan raya New Zealand berlangsung tanpa lonjakan kes COVID-19

Teknologi merupakan antara faktor utama pilihan raya New Zealand berlangsung tanpa mengakibatkan gelombang baharu COVID-19 di negara itu.

Menurut bekas Ketua Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya New Zealand, Robert Peden, meskipun pilihan raya itu dilaksanakan mengikut garis panduan sedia ada, tanggungjawab rakyat menjadi faktor penentu kejayaannya.

“Rakyat di New Zealand keluar mengundi sepertimana mereka keluar ke tempat awam, mereka masih mengikut syarat yang ditetapkan kerajaan seperti diwajibkan mengguna cecair pencuci tangan dan mengimbas suhu dan sebagainya.

“Mereka juga disarankan untuk mengguna pakai aplikasi pengesan COVID-19, bagi memudahkan kerja pengesanan kontak rapat pada kemudian hari.

“Bagaimanapun, mereka boleh meminta kawan-kawan atau saudara-mara anda untuk mengundi bagi pihak mereka. Namun, cara itu hanya boleh diguna pakai bermula sesi pilihan raya tahun ini,” jelas beliau.

Selain itu, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya New Zealand turut menyediakan perkhidmatan mengundi kepada mereka yang berada dalam tempoh kuarantin.

“Misalnya, mereka baru sahaja tiba dari luar negara dan memerlukan pengasingan diri selama 14 hari. Pihak kami akan menggunakan kaedah ‘telephone dictation’.

“Biasanya, perkhidmatan itu kami laksanakan kepada mereka yang buta atau mempunyai masalah penglihatan,” jelas Peden pada Rabu.

Bagaimana pula dengan isu keselamatan jika menggunakan ‘telephone dictation’?
Sebaik Peden mendedahkan kaedah tersebut, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann sebagai hos temu bual secara siaran langsung menerusi Facebook Bersih 2.0 itu khuatir dengan keselamatannya.

Namun, Peden menjelaskan bahawa ia dilaksanakan mengikut kaedah keselamatan sama yang sering dilalui sebelum mendaftar akaun emel yang baharu.
“Mereka perlu menjawab soalan-soalan keselamatan bagi mengesahkan identiti mereka itu benar atau tidak.

“Sebagai contoh, siapakah nama ibu bapa mereka, soalan-soalan peribadi yang hanya mereka sahaja tahu jawapannya,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Peden mendedahkan tiada sebarang syarat ditetapkan ketika berkempen.

Sebaliknya, ia merupakan tanggungjawab pemimpin parti itu sendiri yang perlu memikirkan keselamatan pihak mereka dengan mengikut garis panduan COVID-19 sedia ada.

“Jadi, ia bukan tanggungjawab pihak kami untuk menetapkan syarat-syarat sewaktu berkempen. Ia sebenarnya terserah kepada pihak pemimpin parti itu sendiri untuk menganjurkan kempen dengan cara mereka sendiri.

“Namun, garis panduan COVID-19 itu sahajalah yang menjadi panduan buat mereka sepanjang berkempen,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann Menerusi Facebook Bersih 2.0 pada malam Rabu bagi berkongsikan panduan hari mengundi yang berjaya dilaksanakan di New Zealand tanpa wujudnya gelombang baharu.

Sebagai rekod, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern meraih kemenangan besar dalam pilihan raya negara itu pada 17 Oktober lalu.

Kebanyakan undi sudah dikira dan Parti Buruh Ardern telah memenangi 49 peratus undi dan dijangkakan beliau akan menang dengan mendapat majoriti mutlak dalam Parlimen negara itu – sesuatu yang jarang berlaku. Awani

Penembak serangan Christchurch dijatuhi hukuman penjara seumur hidup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker