KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM17.33 bilion pada suku ketiga 2020

KUALA LUMPUR: KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar RM17.33 bilion bagi suku tahun ketiga berakhir 30 Sept 2020, dalam suasana ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran modal dan persekitaran operasi yang dipengaruhi penularan pandemik COVID-19.

Katanya, ekuiti menyumbang RM7.29 bilion atau 42% kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku ketiga, manakala instrumen pendapatan tetap mencatatkan RM8.18 bilion.

Hartanah dan prasarana, serta instrumen pasaran wang, masing-masing menyumbang RM1.63 bilion dan RM0.23 bilion, manakala pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM16.87 bilion selepas mengambil kira rosot nilai dan turun nilai kos atas ekuiti tersenarai.

Ketua Pegawai Alizakri Alias berkata tahun ini menyaksikan ketidaktentuan yang ketara dalam pasaran kewangan, apabila terdapat pergerakan pesat yang beralih daripada satu tahap ekstrem kepada tahap ekstrem seterusnya.

“Kedudukan kewangan KWSP sepanjang tiga suku pertama pada tahun ini dipengaruhi oleh turun naik dalam sentimen pasaran yang diburukkan lagi oleh ketidakpastian berikutan pandemik COVID-19 serta sentimen pengguna yang masih berada pada tahap yang lemah,” katanya dalam kenyataan.

Indeks ekuiti global yang dipantau secara terperinci oleh KWSP meningkat semula daripada paras terendah pada Mac, bagaimanapun masih terdapat indeks yang masih belum pulih kepada tahap sebelum pandemik, iaitu pada akhir tahun 2019.

KWSP berkata pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap menyumbang 47% kepada pendapatan pelaburan kasar pada suku tahun ini.

“Kejatuhan hasil yang meluas memberi peluang kepada KWSP untuk meningkatkan aktiviti dagangan dan mendapatkan keuntungan.

“Bagaimanapun, KWSP akan mempertimbangkan faktor hasil pelaburan semula yang lebih rendah, serta berwaspada dalam memastikan prestasi jangka panjang portfolio pelaburan tidak terjejas,” katanya.

Pada akhir Sept 2020, jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM941.77 bilion, terdiri daripada 68% yang diperuntukkan dalam pasaran domestik dan 32% yang diperuntukkan dalam pasaran luar negara, yang juga menyumbang sebanyak 45% kepada pendapatan pelaburan kasar bagi suku tahun ketiga.

Berdasarkan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 49% daripada pelaburan, manakala ekuiti sebanyak 39%.

Instrumen pasaran wang dan hartanah dan prasarana masing-masing merangkumi 7% dan 5% daripada pelaburan.

Portfolio ini mencerminkan strategi KWSP untuk mengoptimumkan pulangan dalam had risiko yang boleh diterima berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA).

Bagi prestasi KWSP untuk bulan berbaki bagi tahun ini, Alizakri berkata walaupun pelaburan KWSP kekal berpandukan SAA, keadaan masih bergantung kepada tindak balas yang pantas dan efektif terhadap pandemik COVID-19, yang juga harus menangani kesan besar terhadap ekonomi dan memastikan kesinambungan perniagaan, pekerjaan, dan kehidupan.

“Ketika ekonomi dunia sedang berusaha untuk pulih daripada sekatan pergerakan, jangkitan COVID-19 semakin meningkat semula, dan ini akan menjadi halangan besar kepada pemulihan ekonomi global kepada tahap sebelum pandemik.

“Kami menjangka kadar faedah akan kekal rendah untuk jangka masa yang lebih lama kerana bank-bank pusat terus melonggarkan dasar monetari untuk menyokong ekonomi masing-masing,” katanya.

Sepanjang tahun yang amat mencabar ini, KWSP tetap teguh berpegang pada komitmennya untuk membantu ahli KWSP mencapai masa depan yang lebih baik serta melindungi simpanan persaraan mereka sepanjang tempoh yang tidak stabil ini.

“Ini akan dicapai dengan sentiasa memastikan keuntungan yang dijana daripada pelaburan dilakukan dengan cara yang sihat dan mampan, dengan turun nilai yang berhemah dan langkah-langkah rosot nilai diamalkan secara proaktif pada setiap masa,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker