Guan Eng dakwa darurat bolehkan kerajaan beri tender rundingan terus


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa perintah darurat membolehkan perdana menteri meluluskan sebarang undang-undang tanpa melalui Parlimen, bahkan menangkap sesiapa yang tidak disukai.

Bahkan, kontrak perolehan kerajaan yang besar juga dapat diberikan melalui tender rundingan terus tanpa mengamalkan tender terbuka.

Sedangkan, tender secara terus atau rundingan terus telah disebut sebagai penyebab utama amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Transparency International.

Bekas Menteri Kewangan itu menambah, Parlimen yang digantung tidak lagi dapat menuntut akauntabiliti tentang pemberian kontrak tanpa tender terbuka daripada kerajaan ini.



”Dengan menggantung dan membungkam Parlimen, Muhyiddin tidak lagi takut bahawa dia sudah kehilangan majoriti Parlimennya, dengan hanya 109 daripada 220 Ahli Parlimen yang menyokong pentadbirannya.

”Lebih teruk lagi, perintah darurat membolehkannya meluluskan apa sahaja undang-undang yang beliau suka tanpa melalui Parlimen, atau bahkan menangkap sesiapa sahaja yang tidak disukainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah beliau, sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah terbukti memadai untuk menangani lonjakan jangkitan Covid-19.

Oleh itu, beliau mempersoalkan bagaimana dengan menggantung Parlimen dan memberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kuasa darurat boleh membantu untuk menang dalam perang terhadap Covid-19.



Hakikatnya, tiada apa-apa langkah tambahan di bawah kuasa darurat yang tidak diperuntukkan di bawah perundangan sedia ada mahupun PKP.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana rungutan rakyat, terutama dalam kalangan Perusahaan Kecil Sederhana yang terkesan akibat sekatan dapat ditangani.

”Saya telah menerima banyak aduan tentang kesukaran perniagaan untuk mendapatkan kelulusan untuk beroperasi dalam tempoh sekatan kerana mereka tidak dianggap sebagai perkhidmatan perlu.

”Walaupun saya setuju bahawa sektor pembinaan adalah perkhidmatan perlu yang harus terus beroperasi, terdapat banyak kes Covid-19 dalam kalangan pekerja di sektor pembinaan. Namun, terdapat banyak perniagaan lain yang mempunyai sedikit atau bahkan tidak ada kes Covid-19, tetapi masih tidak dibenarkan beroperasi hanya kerana mereka tidak diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu,” ujarnya.



Justeru, soalnya, apakah logik di sebalik melarang perniagaan yang tidak diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu dan bebas daripada Covid-19 daripada beroperasi, berbanding industri perkhidmatan perlu yang mencatatkan sebilangan besar kes Covid-19.

Guan Eng berkata, walaupun kerajaan komited untuk menyelamatkan nyawa, ini tidak seharusnya dengan mengorbankan perniagaan yang mematuhi protokol standard kesihatan dan merekodkan hanya sedikit kes Covid-19.

Tambahan pula, katanya, dengan ketiadaan tawaran bantuan kewangan atau pakej rangsangan ekonomi baharu, perniagaan kecil sudah menderita dan tidak patut dilarang beroperasi, jika mereka merekodkan hanya sedikit kes Covid-19.

Jika tidak, kerajaan harus bertanggungjawab kerana menyebabkan lebih banyak penutupan perniagaan dan kehilangan pekerjaan, tambah Guan Eng. MG



Lim Guan Eng dah kantoi baru nak cakap

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker