Darurat dan polemik kewajarannya


SELEPAS pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri selama
dua minggu bermula 13 Januari, negara dikejutkan dengan pengisytiharan darurat
oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada keesokannya, atas nasihat Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sudah pastinya ia mencetuskan polemik dan perdebatan hangat dalam kalangan
ahli politik, pengamal undang-undang, para ilmuwan, pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) hinggalah kepada rakyat marhaen.

Dalam perutusannya, Muhyiddin menyatakan bahawa tujuan utama darurat adalah
untuk membendung wabak Covid-19 yang telah mengalami peningkatan kes secara
mendadak selama beberapa bulan yang lalu.

Namun begitu, penguatkuasaan PKP kali pertama pada Mac hingga Mei tahun lalu
dilihat sudah cukup berkesan membendung wabak Covid-19 tanpa perlu melalui
darurat.

Tambahan pula, kesan utama darurat ini adalah tergantungnya sidang Parlimen dan
Dewan Undangan Negeri serta semua bentuk pilihan raya sehingga keadaan Covid-
19 terkawal atau pulih.

Persoalannya, mengapa sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri perlu
digantung? Saya masih belum ada jawapan yang tuntas dan kukuh mengapa kedua-
dua sidang ini perlu digantung.

Persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri menjadi medan penting untuk
wakil rakyat membuat keputusan hasil perbincangan dan perbahasan berkaitan apa sahaja masalah berkaitan kepentingan rakyat dan negara, lebih-lebih lagi dalam menangani wabak Covid-19.

Jika ini tidak berlaku, dibimbangi ia mungkin menjadi tiket bagi sesebuah kerajaan untuk menyalah guna kuasa pemerintahan tanpa semak dan imbang, termasuklah kemungkinan mengelakkan risiko pilihan raya mengejut atau kejatuhan kerajaan sedia ada yang dikatakan sudah kehilangan majoriti.

Saya berpandangan, krisis pandemik Covid-19 dapat dikawal cukup dengan
pelaksanaan PKP tanpa darurat. Dengan darurat, mungkin wabak dapat dibendung.
Namun bagaimana pula dengan kesan kepada ekonomi?

Dalam keadaan ekonomi negara sedang dipulih, penguatkuasaan darurat
dibimbangi boleh memberikan kesan ekonomi yang lebih buruk berbandig PKP; pelabur lari, pelaburan menurun, peluang pekerjaan menurun, pengangguran meningkat dan pelbagai kesan yang lain.

Rakyat sedang menilai segala tindak-tanduk kerajaan akan kewajaran pelaksanaan darurat ini. Pada saat kritikal ini, keutamaan perlu diletakkan kepada kepentingan negara serta mengetepikan segala komplot politik untuk merampas kuasa.

Utamakanlah kepentingan negara, bukan kepentingan parti. Utamakanlah kebajikan
rakyat, bukan ‘kebajikan’ kroni.

Utamakanlah memerangi Covid-19, bukan
memerangi musuh politik. Utamakanlah memulihkan ekonomi, bukan ‘memulihkan’
kuasa. MG

Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pakatan Nasional hanya polemik politik, kata Umno

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker