Umpama impian jadi nyata

Ahirine Ahirudin

Umpama impian jadi nyata

TIDAK menyangka impian yang dipendam sejak usia 10 tahun akhirnya menjadi kenyataan.

Itu cerita pelakon Ahirine Ahirudin, 26, mengenai pembabitan dalam filem Remp-It 2 yang akan menemui penonton di pawagam pada 24 November ini.



Anak kepada tokoh pengamal media berpengaruh, Datuk Ahirudin Attan atau Rocky Bru ini berkata, dia menonton filem Rempit pada 2006 dan pernah terfikir alangkah seronok jika terbabit dalam filem genre aksi sebegitu.

“Saya rasa macam alangkah gembira kalau suatu hari nanti dapat berada dalam filem ini kerana saya amat meminati filem aksi. Jadi, apabila pengarah dan pelakon, Farid Kamil tawarkan untuk membintangi filem ini, rasa macam tak percaya pun ada.

“Malah dalam hati saya kata, betulkah? Mungkin saya rasa waktu dia nak cari seseorang untuk pegang watak Roy, saya berada di situ. Kebetulan saya memang sedang berlatih ketika itu. Apapun peluang ini saya manfaatkan dengan berikan lakonan sebaik mungkin.

“Ikutkan ini ialah lakonan pertama saya sebelum membintangi filem Gadis Jolobu The Movie dan ia memberikan satu pengalaman baharu buat saya,” katanya.



Ahirine atau lebih mesra dengan panggilan E yang mendapat sokongan keluarganya dalam dunia seni, bidang penyiaran mahupun kewartawanan mengakui debaran menanti tayangan filem ini kerana pembabitan dalam Gadis Jolobu The Movie mendapat pelbagai reaksi penonton.

“Rasanya apabila berada di depan kamera, ekspresi saya mungkin tak sampai. Namanya pun masih baru. Tapi saya ambil semua tindak balas dengan positif. Saya masih lagi belajar dan ambil segala teguran dan kritikan sebagai pengajaran.

“Paling penting saya nak perbaiki diri dengan ikuti kelas lakonan kerana saya tahu perjalanan saya masih jauh dalam bidang seni. Sudah semestinya saya mengharapkan dapat lagi membintangi filem permotoran atau aksi.

“Bagaimanapun saya minat juga membintangi filem romantik dan suka menonton filem genre begini. Tawaran lain itu ada, tapi pengurusan saya akan tapis. Untuk masa sekarang saya hanya berlakon filem, tapi mungkin selepas ini pengurusan ambil juga tawaran drama,” katanya.



Bercerita lanjut, pemegang Ijazah Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga pernah bertugas sebagai wartawan penyiaran dan pengacara program tv.

Dia berterima kasih kepada Farid dan FKX Film kerana melamarnya membintangi Remp-It 2 sekali gus membawanya masuk dalam bidang lakonan.

“Saya sedang berlatih di Most Fun Gym, Sungai Penchala. Kebetulan Farid datang bersama isterinya dan anak-anak untuk meninjau lokasi. Beberapa hari kemudian, jurulatih tanya saya sekiranya nak jadi pelakon lagak aksi untuk filem ini.

“Dah tentunya saya nak kerana ia memang minat saya. Kemudian semasa sedang buat babak aksi, saya terjatuh. Saya terhempas agak teruk kerana kuasa motosikal ini agak tinggi. Selepas jatuh saya buka topi keledar.



“Farid juga ada di situ dan dia macam terkejut lihat saya. Rupa-rupanya kebetulan saya baru tahu sebenarnya saya dah ditawarkan pegang watak Roy dalam Remp-It 2. Baru saya tahu perkara ini,” katanya membuka cerita.

Tidak menunggu lama, beberapa hari selepas itu mereka mula menjalani penggambaran Remp-It 2 pada hujung 2019.

“Babak pertama membabitkan saya dengan Farid. Saya baru jatuh selepas buat babak aksi lasak dan tak berapa lama lepas itu terus menjalani penggambaran. Tapi babak yang ini pun dah buat saya terkejut kerana kena bertengkar dengan Farid.

“Dalam filem ini, saya terbabit dengan motosikal lasak. Sedikit sebanyak memang karakter saya sebab saya pun bekerja di bengkel juga selain berlatih di situ. Pada saya impian akhirnya jadi kenyataan kerana saya memang minat sangat nak berlakon.



“Saya seronok dan bangga berganding dengan Farid yang dianggap ‘legenda’ dalam industri filem. Memang tak sangka dan seperkara lagi tak sangka juga dia sangat ramah dan baik. Dia banyak memberi tunjuk ajar dari segi lakonan,” katanya.

Ahirine juga tidak kekok bekerja dengan barisan pelakon lain seperti Cat Farish (Macha), Niezam Zaidi (Spark), Izzue Islam (Deqwan) dan Farez Ridzwan (Ajak).

“Memang tak rasa kekok kerana saya ada keserasian dengan semua pelakon. Kami semua jadi geng. Kebetulan saya pun dah dalam dunia permotoran, jadi rasa serasi dengan mat motor,” katanya yang masih menulis secara sambilan tetapi dalam portal automotif. HM

Umpama impian jadi nyata




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nelayan dakwa dihina dengan perkataan ‘Melayu bodoh, otak udang’

Kembar Najib dan Mahathir

Tayang gambar penyanyi K-Pop depan Kaabah (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker