Biarlah Kerajaan Perpaduan bertahan sehingga habis penggal

Biarlah Kerajaan Perpaduan bertahan sehingga habis penggal

BELUM pun sempat sehari selepas memorandum persefahaman (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan dimeterai, sudah kedengaran suara sumbang mengecam usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan kestabilan politik di negara ini.

Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menganggap MoU tersebut sebagai ‘haram, tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator’.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah seolah-olah sukar untuk menerima hakikat bahawa MoU itu selaras dengan hasrat rakyat yang mahu melihat Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) benar-benar kukuh dan mampu memulihkan negara daripada krisis ekonomi serta politik yang dihadapi sebelum ini.

Mungkin Mas Ermieyati terlupa bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Bersatu masing-masing hanya mampu bertahan selama 22 bulan dan 17 bulan sahaja.

Kita semua dapat melihat kesan buruk apabila kerajaan bertukar sebanyak tiga kali selepas PRU-14 dahulu.

Pelabur asing dan domestik hilang keyakinan sekaligus menyebabkan proses pemulihan ekonomi selepas krisis pandemik COVID-19 sukar dilaksanakan.

Sudah tentu rakyat yang menjadi mangsa akibat krisis ekonomi dan politik yang tidak berkesudahan.

Ramai yang hilang pekerjaan serta berdepan kesukaran untuk menampung kehidupan seharian dengan pendapatan yang tidak seberapa.

Kerajaan Perpaduan yang diketuai Anwar berdepan cabaran tersendiri memandangkan ia melibatkan lima gabungan yang berbeza ideologi politik iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Malah, PRU-15 baru-baru ini menyaksikan pertembungan yang sengit antara PH dan Warisan di satu pihak dengan BN, GPS dan GRS di pihak yang lain.

Walaupun suhu politik sejuk seketika selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan, tiada jaminan perdamaian akan kekal sehingga penggal ini berakhir.

Oleh itu, MoU yang dimeterai oleh ketua lima gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan semalam dapat mengikat kesetiaan kesemua Ahli Parlimen mereka lebih-lebih lagi menjelang pembentangan usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila Dewan Rakyat bersidang Isnin dan Selasa ini.

Selepas 24 tahun Anwar menunggu untuk menjadi Perdana Menteri, semua pihak seharusnya memberi ruang kepada beliau membuktikan keupayaannya menerajui pentadbiran negara tanpa berdepan ‘ugutan’ menarik sokongan yang boleh merencatkan hayat Kerajaan Perpaduan.

Jika UMNO yang dikenali sebagai musuh ketat PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) boleh berjiwa besar dengan menganggotai Kerajaan Perpaduan, takkanlah Bersatu yang pernah bersama PH serta Pas yang dahulu berjuang bersama Pakatan Rakyat tidak boleh bertolak ansur dengan rakan-rakan lama mereka.

Sekiranya Kerajaan Perpaduan gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan, biarlah rakyat yang menentukan nasib mereka pada PRU-16 kelak.

Buat masa ini, mereka tidak mahu lagi melihat drama pertukaran kerajaan tanpa mandat rakyat kembali berulang. MG

Biarlah Kerajaan Perpaduan bertahan sehingga habis penggal


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tanah runtuh: ‘Saya masih ‘shaking’

Tanah runtuh: ‘Bunyi seperti letupan kuat, bumi bergerak pantas’

Muat Turun Kalender 2023, Cuti Sekolah & Cuti Umum Malaysia [Percuma]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker