Penganalisis kata PKR tidak kemana jika Rafizi dan Anwar tidak berdamai

Penganalisis politik percaya kem-kem yang wujud dalam PKR harus segera berdamai susulan keputusan pemilihan parti yang menyaksikan Rafizi Ramli hampir pasti memenangi jawatan timbalan presiden.

Mengakui keputusan pemilihan kali ini menunjukkan ahli-ahli PKR mahukan proses peremajaan berlaku dalam parti itu, namun penganalisis berpendapat keputusan itu mungkin menimbulkan masalah jika pemimpin yang dipilih tidak dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Keadaan itu menurut mereka mungkin mencetuskan satu lagi pergolakan dalaman seperti yang berlaku dengan kewujudan ‘kartel’ Azmin Ali selepas pemilihan PKR 2018.

“Rafizi mesti menguruskan kemenangannya dengan berhati-hati.

“Dia mesti segera berdamai dengan kem Saifuddin (Nasution Ismail), meyakinkan Anwar (brahim) mengenai kesetiaannya dan mendekati parti-parti dalam Pakatan Harapan yang lain,” kata penganalisis politik, Wong Chin Huat kepada Malaysiakini.

Penganalisis Sains Politik dari Institut Jeffrey Cheah bagi Asia Tenggara itu berkata kemenangan Rafizi dan pasukannya, yang memenangi jawatan penting dalam pemilihan berkenaan tidak akan bermakna jika dia tidak boleh bekerjasama dengan pihak lain.

“(Ia) tidak cukup untuk dia meraih sokongan daripada akar umbi PKR dan pengundi di luar Pakatan Harapan jika dia tidak boleh bekerjasama dengan pemimpin lain dalam PKR dan PH.

“Kemenangan besar Rafizi sudah tentu tidak mutlak, seperti yang ditunjukkan bagi salah satu jawatan naib presiden, dan jawatan tertinggi Pemuda dan Wanita PKR.

“Ini bermakna dia perlu bekerjasama dengan orang lain dalam PKR untuk meremajakan dan menghidupkan semula parti,” tambah Wong.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Rafizi memenangi jawatan timbalan presiden dengan mengalahkan Saifuddin.

Bagi empat jawatan naib presiden pula, ia diisi oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Amirudin bersama dalam kem Saifuddin manakala Nik Nazmi, Chang dan Aminuddin sehaluan dengan Rafizi.

Jawatan ketua Pemuda PKR (AMK) pula dimenangi oleh Adam Adli, yang bersama kem Saifuddin, manakala sayap Wanita PKR menyaksikan keputusan bercampur-campur di mana Rodziah Ismail (pasukan Rafizi) memenangi jawatan ketua manakala kedudukan nombor duanya dimenangi oleh Juwairiya Zulkifli (pasukan Saifuddin).

‘Akur hasrat akar umbi’

Dalam perkembangan yang sama, Oh Ei Sun, seorang penganalisis di Singapura, menyarankan agar Anwar menerima kehendak akar umbi parti dan bekerjasama dengan Rafizi.

Sekiranya kedua-dua mereka boleh bekerjasama, Oh berkata, PKR mungkin mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang pilihan raya.

“Sebahagian besar nasib masa depan PKR bergantung kepada sikap Anwar setakat ini.

“Jika Anwar menerima seruan daripada akar umbi yang mendambakan barisan kepimpinan yang lebih segar untuk meremajakan parti, dan dengan itu bekerjasama erat dengan Rafizi dan pasukan untuk menyusun strategi yang lebih baik untuk parti dalam pilihan raya, maka mungkin harapan cerah untuk parti itu pada pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu, sekiranya Anwar memilih jalan bermusuhan menentang Rafizi, ia akan berisiko mengheret satu lagi pergolakan dalaman seperti yang terjadi selepas pemilihan PKR 2018.

Pemilihan 2018 menyaksikan Azmin Ali memenangi jawatan timbalan presiden PKR dengan mengatasi Rafizi, yang ketika itu sehaluan dengan Anwar.

Perpecahan berlaku dalam parti itu antara penyokong setia Anwar dan pengikut Azmin.

Kemuncaknya Azmin keluar daripada PKR untuk menyertai Bersatu pada 2020 semasa berlaku krisis politik Langkah Sheraton dan mebawa bersama sejumlah besar ahli PKR yang lain.

“Jika Anwar memilih untuk meletakkan mana-mana pencabar yang berpotensi dalam cengkamannya, seperti yang dilakukannya terhadap Azmin, maka kita sedang melihat satu lagi pusingan perebutan kuasa dalaman parti yang akan menjejaskan lagi pemilihan parti,” kata Oh.

Bagi Awang Azman Awang Pawi, keputusan pemilihan PKR kali ini lebih berwarna warni daripada pandangan sikap dan pemikiran parti itu.

Awang juga percaya Anwar akan melantik beberapa pemimpin yang tewas bagi jawatan tertentu sebagai “semak dan imbang” kepada Rafizi, seperti yang dilakukannya selepas pemilihan 2018.

“Sebagai presiden Anwar pasti akan memastikan semak dan imbang dalam kepimpinan melalui jawatan lantikan kepada Saifuddin dan Fahmi Fadzil misalnya untuk memastikan tiada yang terpinggir daripada pemilihan dan gandingan lebih mantap.

“Rafizi sendiri pernah dilantik ke dalam jawatan lantikan naib presiden selepas ditewaskan oleh Azmin Ali ketika pertandingan merebut jawatan timbalan presiden,” kata Awang Azman, yang merupakan pensyarah Universiti Malaya.

Katanya, sudah pasti ramai akan menilai prestasi Rafizi dan idealismenya, seperti yang ditunjukkan bekas Ahli Parlimen Pandan itu dalam kempennya sebelum ini.

Kesan pada PH

Sementara itu, penganalisis memiliki pendapat berbeza apabila ditanya apakah keputusan pemilihan PKR akan menjejaskan Pakatan Harapan dan persediaannya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Bagi Wong Chin Huat, dia percaya disebabkan pasukan Rafizi mendominasi barisan kepimpinan parti itu, peluang lebih tipis untuk melihat PH mengadakan rundingan dengan parti pembangkang lain.

“Rafizi mahu PH bersaing pada PRU15 dengan produk yang jelas berbeza, bukan menggunakan strategi lama ‘khemah besar’,” katanya.

Menurut Wong, Rafizi telah menetapkan “matlamat realistik” apabila mengatakan PH harus menumpukan tenaga untuk memenangi 80 kerusi, dan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum 2018.

Idea ini, jika diterjemahkan dalam strategi PH pada PRU15, boleh menarik lebih ramai penyokong pembangkang berbanding parti lain seperti Perikatan Nasional.

“Dengan bertanding kerusi yang lebih sedikit bersama mesej jangka panjang yang konsisten, dan dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian dasar dan bukannya jawatan untuk sesiapa, PH mungkin dapat mengujakan sesetengah pengundi, termasuk pengundi Undi 18 serta mereka yang tidak memihak tetapi berdaftar secara automatik.

“Imej yang lebih berprinsip dan berorientasikan penyelesaian ini mungkin lebih menarik minat pengundi anti-establishment berbanding PN, khususnya PAS yang masih tidak dapat membuat keputusan sama ada mahu memutuskan hubungan dengan Umno.

“Jika Rafizi dapat meyakinkan PH, tidak ada ruang untuk berunding dengan bukan sahaja PN, tetapi Pejuang dan Warisan, manakala Muda, yang merupakan pesaing berpotensi PKR, mungkin perlu memutuskan sama ada untuk menyertai PH segera,” katanya.

Sebaliknya, Awang Azman melihat kemenangan Rafizi tidak akan membawa banyak perubahan kepada PH kerana gabungan itu bekerjasama secara konsensus.

“Corak kepimpinan dan kerjasama dalam PH dijangka tidak banyak berubah kerana keputusan terletak pada konsensus dalam PH dan bukan daripada pendirian seorang dua atau kelompok tertentu sahaja,” katanya.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bill Gates ramal dunia dilanda pandemik baharu 20 tahun lagi

Najib bidas Kit Siang, balun Mahathir, cakap tidak serupa bikin

Pejuang umum akan ‘perangi’ semua kerusi Bersatu dalam PRU-15

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker