Peralihan undi Cina kepada BN banyak dari kawasan luar bandar

Peralihan undi Cina kepada BN banyak dari kawasan luar bandar

Peralihan undi Cina ke arah Barisan Nasional (BN) yang dilaporkan baru-baru ini sebahagian besarnya datang daripada komuniti Kampung Baharu dan kawasan luar bandar, kata seorang penganalisis.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pengundi Cina di kawasan bandar dan mereka yang lebih berkemampuan akan kekal menyokong pembangkang, khususnya DAP.



“Bagi mereka di Kampung Baharu di luar bandar, mata pencarian mereka terikat dengan keperluan infrastruktur kawasan itu,” kata Oh kepada FMT.

“Memandangkan MCA adalah sebahagian daripada kerajaan, mereka berasa perlu untuk memilih wakilnya bagi menjamin keperluan infrastruktur dan sosioekonomi mereka yang lain, terutamanya selepas wabak dan perintah sekatan memberi kesan buruk ke atas perniagaan kecil mereka.”

Beliau berkata, sehingga dan melainkan wujud naratif serupa seperti yang berlaku menjelang pilihan raya umum (PRU) 2018 sebelum ini, komuniti Cina luar bandar sebahagian besarnya akan kekal mesra BN.

Oh juga bercakap mengenai “pengundi senyap” Cina, yang menurut seorang pemimpin MCA Pulau Pinang cenderung kepada BN.



“Pengundi senyap” adalah fenomena lama, kata Oh.

“Mereka menyembunyikan kecenderungan politik mereka, terutamanya apabila ia memihak kepada pembangkang kerana takut pembalasan daripada kerajaan yang memerintah,” katanya.

“BN pada masa itu kelihatan tidak dapat dikalahkan di peringkat persekutuan dan mampu melaksanakan pembalasan dan penganiayaan dari segi politik dan lain-lain terhadap pengundi yang tidak taat.

“Dengan BN kembali berkuasa di peringkat persekutuan, secara semula jadi ketakutan seperti itu timbul semula,” katanya.



Beliau juga menolak dakwaan bahawa pengundi Cina di Pulau Pinang mungkin berpaling daripada DAP dan memihak kepada BN.

Katanya, peratusan keluar mengundi yang rendah di Melaka dan Johor memang menguntungkan BN tetapi ini tidak mungkin berlaku di Pulau Pinang yang mempunyai lebih ramai pengundi Cina.

“Penduduk Pulau Pinang lebih peka dan celik dari segi politik, justeru boleh dikatakan mustahil akan berlakunya peralihan besar undi Cina kepada BN di situ,” katanya.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, sentimen masyarakat Cina pada ketika ini adalah menentang DAP dan secara amnya lebih memihak kepada BN, tetapi beliau memberi amaran bahawa sentimen itu mungkin berubah dari semasa ke semasa.



Beliau berkata, dakwaan MCA bahawa pengundi Cina kini memihak kepada BN di Pulau Pinang hanyalah naratif yang dijaja selepas BN menang di Melaka dan Johor.

“Mereka yang mendakwa boleh meramal keputusan pilihan raya tanpa mengetahui tarikh sebenar atau calon hanya memperbodohkan diri mereka sendiri. Ia masih terlalu awal.

“Kita perlu menunggu sehingga (tarikh) pilihan raya ditetapkan sebelum kita boleh membuat ramalan yang serius,” katanya. FMT

Peralihan undi Cina kepada BN banyak dari kawasan luar bandar




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Guna pedang samurai serang suami isteri kerana enggan lakukan hubungan intim



Pak Imam tercabar, suara makmum lagi kuat dari Imam [VIDEO]

https://mykmu.net/2022/04/06/zoey-rahman-kini-rapat-dengan-shakira-stephen-setelah-tiada-jodoh-dengan-zarina-anjou

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker