Azmin dilantik sebagai Naib Presiden PPBM?

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membincangkan kedudukan mana-mana pemimpin utama yang menyertai parti.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat parti selepas berakhirnya pemilihan parti di peringkat pusat, semalam.

“Kita akan bincang dalam Majlis Pimpinan Tertinggi dan kalau tak salah, kita akan adakan satu Mesyuarat Agung dan Persidangan Agung Luar Biasa untuk kita pinda perlembagaan.

“(Ia) untuk memastikan kita dapat menarik perhatian pemimpin termasuk yang bukan Melayu dan juga bukan bumiputera untuk turut sama dalam perjuangan Parti Bersatu,” katanya pada sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hari ini.

Menteri Besar Perak itu berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media samada jawatan akan diberikan kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyertai Bersatu, semalam.

Selain Azmin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Seratok, Ali Biju; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar turut menyertai paerti itu.

Ditanya mengenai barisan kepimpinan Bersatu yang baharu, Ahmad Faizal optimis kesemua mereka akan menjalankan tanggungjawab bagi mengukuhkan lagi parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya lihat ini pemilihan kali pertama buat Bersatu dan semua bahagian dapat menunaikan tanggungjawab tetapi selain daripada itu semuanya berjalan lancar dan ahli-ahli telah membuat pemilihan.

“Saya kira dengan semangat demokrasi yang ada kita sambut semua pemenang dalam MPT dan saya kira mereka semua sepakat untuk memberi sokongan padu kepada Presiden, itu yang penting dan saya kira semuanya tidak sabar-sabar untuk memberikan perkhidmatan kepada parti

“Saya fikir parti menuju landasan yang baik dan selepas pemilihan ini parti Bersatu akan bertambah kukuh tambahan lagi dengan sokongan daripada pimpin pimpin besar seperti Datuk Seri Azmin,” katanya.

Semalam, pemilihan jawatan-jawatan bagi Majlis Pimpinan Tertinggi Penggal 2019-2022 Bersatu menyaksikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dipilih menjadi Naib Presiden.

Dua lagi yang terpilih untuk jawatan itu adalah Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker