Kerajaan Menunggang Rakyat Miskin

oleh Ab Jalil Backer

1. Keputusan pantas Kabinet meluluskan operasi Gojek sebagai teksi motosikal di Malaysia sangat mencurigakan. Ia diberi kebenaran hanya beberapa minggu selepas dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq.

2. Ada tanda seolah-olah menteri muda ini bertindak sebagai pelobi syarikat besar Indonesia tersebut.

3. Menteri terbabit secara terbuka bercakap mengenai Gojek walaupun terdapat syarikat milik usahawan bumiputera, Dego Ride, telah pun memulakan operasi tahun lepas.



4. Namun aktiviti syarikat ini diharamkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (DAP), atas alasan keselamatan orang ramai. Langsung tiada budi bicara menetapkan garis panduan percubaan bagi melihat kesannya.

5. Jika syarikat tempatan milik bumiputera diharamkan tahun lepas, mengapa Anthony Loke bersetuju pula dengan kemasukan syarikat Indonesia bernama Gojek.

6. Apakah Gojek lebih memahami masalah keselamatan jalan raya di Malaysia berbanding Dego Ride? Atau kerana Dego Ride syarikat milik anak muda tempatan yang tidak punya dana lobi besar maka mudah kerajaan “menerajang” keluar?

7. Cara Syed Saddiq mempromosi dan mempertahankan Gojek sangat luar biasa dan memalukan. Menteri sudah jatuh ke taraf pelobi projek sahaja. Berhentilah “menunggang” kemiskinan rakyat untuk syarikat besar.



8. Di mana pula alasan-alasan Anthony Loke tahun lalu ketika menutup perniagaan Dego Ride? Apa yang telah berubah sejak tahun lalu sehingga merasionalkan keputusan kabinet ini?

9. Alasan untuk memberi peluang pendapatan tambahan kepada anak muda berpendapatan rendah di bandar memang enak didengar, namun tidak semestinya ia keputusan yang baik.

10. Apakah faktor pendapatan tambahan anak muda lebih penting dari keselamatan pengguna jalan raya?

11. Adalah sangat memalukan juga Pakatan Harapan yang pernah mencemuh bahawa pertumbuhan e-Hailing sebagai mercu tanda kegagalan BN meningkatkan taraf hidup rakyat, kini “menunggangnya”.



12. Kuala Lumpur tidak terlalu besar dan padat seperti Jakarta sehingga terpaksa mengangkat motosikal sebagai pengangkutan alternatif kepada masalah kesesakan jalan raya.

13. Jika kerajaan mahu melaksanakan juga sebagai salah satu alternatif pengangkutan awam, maka ia harus dijalankan secara percubaan dengan syarikat Dego Ride.

14. Antara percubaan yang perlu difikirkan ialah penggunaan motosikal yang berkelajuan rendah dan kurang karbon.

15. Apa pun perbincangan, hakikatnya kelulusan pantas kepada Gojek ini menunjukkan kegagalan kerajaan memulihkan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada rakyat.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker