KLIA seperti pasar borong, Loke patut letak jawatan.

Share


MP PAS saran Loke letak jawatan

PAS melihat kegagalan teknikal Sistem Pengurusan Lapangan Terbang Menyeluruh (TAMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) beberapa hari lalu sebagai memalukan negara serta memberi implikasi negatif yang besar kepada banyak pihak.

Justeru Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary, berpendapat Menteri Pengangkutan Anthony Loke perlu mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan.

Menurutnya, ia bersesuaian dengan gesaan Penasihat Media Perdana Menteri, A Kadir Jasin, sebelum ini yang meminta mana-mana menteri yang kurang menyerlah agar melepaskan jawatan masing-masing.

“KLIA adalah infrastruktur kritikal negara. Sebarang insiden yang berlaku memberi kesan besar kepada keyakinan pelabur dan pelancong asing.

“Jika kemudahan infrastruktur kritikal seperti KLIA pun sebegini rupa, bagaimanakah pula persepsi dunia terhadap infrastruktur yang lain seperti jalan raya, komunikasi, tenaga elektrik, empangan, dan air?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Ahmad Marzuk, KLIA sepatutnya memiliki sistem sokongan yang berkesan dan mempunyai sokongan jika sistem rangkaian utama terganggu.

Katanya proses peralihan kepada sistem sokongan sepatutnya dapat dilakukan dalam beberapa saat sahaja dan tanpa disedari pun oleh pengguna.

Malangnya, kata beliau lagi, KLIA terpaksa bergantung kepada sistem manual untuk menangani masalah yang berlaku, termasuk menggunakan papan putih yang ditulis dengan pen penanda bagi memaparkan maklumat penerbangan.

Celupar mulut menteri

KLIA dan KLIA2 mengalami gangguan teknikal empat hari lalu menyebabkan banyak penerbangan tertangguh, penumpang terpaksa beratur panjang dan berasa kecewa.

Ia juga menjejaskan fungsi utama seperti sambungan Wi-Fi, FIDS, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Bagaimanapun susulan langkah diambil Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi mengatasi gangguan tersebut, operasi KLIA dilaporkan sudah kembali normal pada hari ini.

Ahmad Marzuk juga mempersoalkan mengapa proses peralihan sistem sokongan itu seolah-olah tidak berlaku sehingga menyebabkan gangguan terhadap sistem utama KLIA selama beberapa hari.

“Adakah pelan kesinambungan perniagaan (BCP) wujud di KLIA atau infrastruktur kritikal yang lain?

“Wujudkah pelan pemulihan bencana (DRP) di semua infrastruktur kritikal lain bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan?” katanya.

Tambah beliau, turut perlu dipersoalkan ialah sama ada wujud atau tidak latihan yang kerap kepada anggota MAHB dan KLIA berdasarkan DRP yang sedia ada bagi memastikan seluruh anggota sokongan perkhidmatan itu sentiasa bersiap-siaga.

“Bilakah kali terakhir infrastruktur sistem rangkaian core network switch sepatutnya dinaik taraf?

“Berapakah jumlah dana atau peruntukan telah disalurkan untuk tujuan tersebut?” tanyanya lagi.

Kata Ahmad Marzuk, Kementerian Pengangkutan sepatutnya mengutamakan perkara penting berkenaan kerana sebarang gangguan boleh memberi kesan kepada pelaburan asing yang sangat sensisitif dengan kestabilan sesebuah negara.

“Bayangkan hanya keceluparan mulut menteri kewangan dengan dakwaan rompakan duit pulangan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 billion dan jumlah RM1 trillion hutang negara memberi kesan yang sangat signifikan terhadap keyakinan pelabur dan akhirnya memberi impak buruk kepada ekonomi negara.

“Disebabkan segala persoalan dan kegagalan ini, saya mencadangkan menteri pengangkutan mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan,” katanya.

Pada masa sama Ahmad Marzuk mengucapkan tahniah kepada seluruh warga kerja KLIA dan MAHB kerana mampu memberikan sepenuh komitmen untuk memastikan perkhidmatan mereka terus beroperasi dengan baik dan selesa.

Mkini



One thought on “KLIA seperti pasar borong, Loke patut letak jawatan.

  • September 5, 2019 at 11:25 pm
    Permalink

    Semoga pas selamanya pmbngkang…..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *