‘Datuk Seri’ projek RM20 bilion

‘Datuk Seri’ projek RM20 bilion

Mendakwa dirinya pernah menetap di Denmark selama 20 tahun dan berkelulusan doktor falsafah (Phd) di sebuah universiti di negara terbabit serta mempunyai rakan kerjasama dengan sebuah syarikat peneraju teknologi hijau di Denmark.

Itu helah seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang mendakwa syarikatnya mempunyai kepakaran dalam pembangunan projek teknologi hijau, biodiesel, teknologi nano dan sektor pembinaan untuk menarik pelabur dengan menjanjikan pulangan lumayan.



Malah, bagi meyakinkan mangsa, dia bersama beberapa rakannya menubuhkan beberapa syarikat berasingan selain melantik seorang pensyarah kanan wanita dari universiti awam (UA) berusia 40-an yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu sebagai penasihat syarikat serta mencari orang ramai yang ingin melabur dalam projek pembangunan bandar teknologi hijau di Raub, Pahang dan KXP Kulim, Kedah.

Bagi meyakinkan pelabur, lelaki itu bersama rakan kongsinya termasuk pensyarah terbabit akan membentangkan kertas kerja berkaitan projek terbabit yang dianggarkan bernilai RM20 bilion.

Bagaimanapun, apabila mangsa melaburkan wang mereka, projek itu masih tidak diteruskan di mana wang pelaburan lebur dan lelaki itu akan memberi pelbagai alasan mengenai penangguhan terbabit.

Seorang mangsa yang juga ahli perniagaan wanita ingin dikenali, Hayati, 60, berkata, dia mula mengenali lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ itu sejak 2014 ketika berada pada satu majlis saudaranya.



Menurutnya, ketika itu lelaki terbabit memperkenalkan diri dan menceritakan dirinya sedang dalam proses untuk membangunkan projek pembangunan teknologi hijau di Raub, Pahang.

“Bagi meyakinkan saya, lelaki itu juga menunjukkan kertas kerja berkaitan projek pelaburan itu dan sedang mencari pelabur bagi merealisasikannya.

“Saya ketika itu, tertarik dengan pelaburan itu bersetuju untuk melabur malah turut membawanya bertemu dengan pihak kerajaan negeri Pahang ketika itu untuk membincangkan berkaitan projek ini dan ingin mendapat kelulusan,” katanya.

Hayati berkata, selama empat tahun dia memindahkan beberapa kali wang pelaburan ke syarikatnya yang mencecah RM300,000 bagi menjayakan projek pembangunan teknologi hijau itu.



“Ketika itulah baru saya tahu, pensyarah wanita terbabit juga ada bekerja bersama mereka bagi meyakinkan orang ramai untuk melabur dan ia bukan berbentuk penipuan.

“Walaupun wang sudah dilaburkan projek masih tidak berjalan, malah setiap kali saya bertanya pelbagai alasan diberikan lelaki itu dan rakan-rakannya,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu bersama pensyarah terbabit dan rakannya memaklumkan mereka mendapat pelabur baru dari Arab Saudi yang sudah melabur sebanyak RM49 juta pada 2019.

“Mereka juga menunjukkan wang yang sudah dipindahkan ke dalam akaun dan dokumen persetujuan melabur ditandatangani lelaki dari Arab Saudi terbabit bagi meyakinkan saya untuk terus melabur dan yakin projek itu akan berjaya.



“Selepas projek di Raub, Pahang tidak berjalan, mereka ‘menjual’ pula kononnya projek akan dibuat di KXP Kulim Kedah namun sehingga sekarang saya tidak mendapat apa-apa pulangan,” katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Putrajaya.

Beliau berkata, lelaki terbabit juga agak licik apabila wang pelaburan itu hanya sedikit sahaja diminta dimasukkan ke dalam akaun banknya sebaliknya yang baki diberi secara tunai.

“Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa tambahan melihat kertas kerja seperti betul dan pembabitan pensyarah terbabit yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

“Selain saya ada lagi mangsa lain, malah saya juga difahamkan ada penerbit filem turut menjadi mangsa mereka namun penerbit terbabit memfailkan saman di mahkamah sebelum ini dan kesnya menang di mana syarikat terbabit diarahkan membayar RM2.4 juta kepadanya,” katanya. HM



‘Datuk Seri’ projek RM20 bilion

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Nasi ayam harga RM14 lauk ‘ciput’ buat pelanggan terkejut



Madu Marissa, Misya dan Aslam makan semeja, netizen pertikai kenapa kahwin dua

Enakmen Syariah Kelantan bukan Hudud bukan Qisas – Nik Elin

Tular gambar Nik Elin-Takiyuddin bersama, Awang Hashim sentap

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker