Minit mesyuarat kabinet Najib tak pernah sebut nama Jho Low – Saksi

Exclusive interview with Jho Lo @ Low Taek Jho on 28 July 2010.

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa nama Low Taek Jho yang berkait dengan 1MDB tidak pernah dijumpai pada minit mesyuarat kabinet semasa pemerintahan bekas perdana menteri Najib Razak.

Bekas timbalan ketua setiausaha kabinet Mazidah Abdul Majid berkata demikian dalam keterangannya hari ini dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion terhadap Najib.

Mazidah menjawab soalan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib jika nama ahli perniagaan dalam buruan itu pernah muncul pada minit mesyuarat kabinet.

Terdahulu, semasa pemeriksaan utama hari ini, saksi pendakwaan ke-11 memberi keterangan dia tidak ingat apakah nama Low pernah muncul ketika mesyuarat kabinet yang dihadirinya.



Akram kemudian memberikan sejumlah besar minit kabinet untuk diteliti Mazidah jika nama Low pernah disebut

Akram: Berdasarkan semua dokumen di hadapan anda ini, adakah Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, pernah disebut dalam dokumen-dokumen berkenaan?

Mazidah: Tidak.

Semalam, Mazidah membacakan pernyataan saksi mengenai mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Najib pada 8 September 2010.



Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa Najib memberitahu kabinet bahawa dia telah mengadakan hubungan rasmi dan tidak rasmi dengan pelbagai pihak dari Timur Tengah dan mendapat respons positif mengenai perkara-perkara yang melibatkan kepentingan Malaysia.

Kata saksi itu lagi, Najib memberitahu kabinet bahawa Putera Mahkota Saudi Sultan Abdul Aziz Al-Saud telah menyatakan persetujuan untuk menyerahkan sumbangan kepada Yayasan 1MDB.

“Sumbangan pertama telah diterima dan mereka (yang dikatakan putera mahkota) telah berjanji untuk memberikan lebih banyak sumbangan selepas ini.

“Sultan Abdul Aziz Al-Saud meminta agar sumbangan ini tidak diumumkan (kepada umum),” kata Mazidah mengenai apa yang dikatakan Najib kepada kabinet ketika itu.



Saksi itu menambah bahawa kabinet kemudian bersetuju dengan Najib “supaya sumbangan dari kerajaan Arab Saudi tidak diumumkan”.

Najib menghadapi empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Selain bekas perdana menteri, Najib juga merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1MDB adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker