Peringkat kehambaan paling tinggi

Peringkat kehambaan paling tinggi

oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Ada segelintir pihak mendakwa pesanan Nabi SAW kepada Ibn Abbas RA adalah dalil haramnya amalan tawassul dan istighathah. Walhal, dalam pesanan itu tiada menyentuh sedikit pun mengenai pengharamannya. Sebaliknya, keharusan amalan berkenaan sabit melalui dalil lain, seperti yang penulis jelaskan secara terperinci dalam satu kertas kerja seminar.



Perhatikan sabda Nabi SAW: “Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih).

Pesanan baginda SAW ini sebenarnya lebih sebagai penegasan terhadap peringkat kehambaan yang tertinggi.

Peringkat ini menuntut keyakinan dan ketauhidan yang tulus kepada Allah SWT bahawa segala ketentuan-Nya sudah pun tertulis. Lantaran itu, minta kepada Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui mengenai hakikat sebenar segala ketentuan-Nya itu. Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah seseorang daripada kalian meminta kepada Tuhannya akan segala hajat keperluannya sekalipun hingga dia perlu meminta kepada-Nya akan tali capalnya apabila terputus”. (Riwayat al-Bazzar, Abu Ya’la dan Ibn Hibban dalam Sahihnya)

Sebarang permintaan kepada makhluk tidak akan mengubah atau memberi kesan (ta’thir) apa-apa pada ketentuan-Nya, meskipun tidak dilarang secara mutlak. Baginda SAW mahukan umatnya meyakini bahawa segala urusan itu berada dalam kekuasaan Allah SWT dan tiada siapa yang mampu memberikan manfaat mahupun mudarat melainkan dengan izin-Nya semata-mata.



Kerana itu, dalam pesanan kepada Ibn Abbas RA disebutkan: “Ketahuilah bahawa sekiranya umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memberikan sesuatu mudarat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu mudarat kecuali suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).”

Baginda SAW turut menegaskan kepada sahabatnya supaya jangan meminta kepada makhluk walaupun tidak meletakkan sifat ketuhanan kepadanya. Thauban RA berkata: “Rasulullah SAW pernah bertanya: ‘Siapakah yang boleh menjamin bagiku untuk tidak meminta sesuatu apa pun kepada manusia dan aku akan menjamin baginya syurga?’ Lantas Thauban menyahut: ‘Aku’. Maka itulah beliau tidak pernah meminta sesuatu apa pun kepada sesiapa.'” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan an-Nasa’i dengan sanad sahih)

Dalam riwayat Ibn Majah diceritakan bahawa pernah cambuk milik Thauban RA terjatuh ketika beliau menunggang, namun beliau tidak meminta kepada seorang pun, “Tolong ambilkannya untukku,” sehingga beliau sendiri turun, lalu mengambilnya.

Dalam peristiwa lain, Auf bin Malik al-Asyja’i RA meriwayatkan: “Kami pernah berada di sisi Rasulullah SAW seramai sembilan, lapan atau tujuh orang. Lalu baginda bersabda: ‘Apakah kalian tidak mahu berbaiah kepada Rasulullah?’ Ketika itu kami masih baharu sahaja berbaiah, maka kami pun menjawab: ‘Sesungguhnya kami telah berbaiah kepadamu, wahai Rasulullah.’ Kemudian baginda bertanya lagi: ‘Apakah kalian tidak mahu berbaiah kepada Rasulullah?’ Maka, kami menjawab lagi: ‘Sesungguhnya kami telah berbaiah kepadamu, wahai Rasulullah.’ Kemudian baginda bertanya lagi (kali ketiga): ‘Apakah kalian tidak mahu berbaiah kepada Rasulullah?’. Lalu kami menghulurkan tangan kami dan bertanya: ‘Sesungguhnya kami telah berbaiah kepadamu, wahai Rasulullah. Lalu atas sebab apa lagi kami perlu berbaiah kepadamu?’. Baginda menjawab: ‘Hendaklah kalian menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat lima waktu, mentaati pemimpin – dan baginda mengucapkan kalimah berikutnya dengan perlahan – ‘dan tidak meminta sesuatu apa pun kepada manusia.'” (Riwayat Muslim)



Auf RA menceritakan: “Maka, aku pernah melihat sebahagian daripada mereka itu saat cambuknya terjatuh, namun dia tidak meminta tolong kepada seorang pun untuk mengambilkannya untuknya.”

Malah, hingga ada yang ragu-ragu untuk menerima rezeki yang datang kepadanya. Kata Umar bin al-Khattab RA: “Wahai Rasulullah, bukankah tuan telah berkata kepadaku, bahawa adalah lebih baik bagimu untuk tidak meminta sesuatu apa pun kepada mana-mana manusia”. Baginda menjawab: “Sesungguhnya yang (dilarang) itu kamu meminta, namun apa-apa yang diberikan kepadamu oleh Allah tanpa meminta (kepada manusia), maka ia adalah rezeki yang dikurniakan kepadamu oleh Allah.” (Riwayat Abu Ya’la dengan sanad sahih)

Penegasan Nabi SAW terhadap peringkat kehambaan tertinggi ini bukan bermaksud sesiapa yang meminta sesuatu kepada orang lain, hatta meminta supaya mengambilkan cambuknya yang terjatuh atau memperbaiki tali capalnya yang terputus dianggap telah melakukan syirik. Ini jelas bukan seperti yang difahami oleh sahabat RA daripada hadis di atas.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)



Peringkat kehambaan paling tinggi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Pelakon Kacak Didakwa Hamilkan Wanita



Wanna Ali berduet dengan bapa tiri

Azmi tak ambil hati gurauan Jihan dan Nabil



Roslan Madun menangis lihat pergaduhan keluarga ND Lala (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker