Kosmetik beracun, KKM batalkan notifikasi 5 produk

Kementerian Kesihatan (KKM) telah membatalkan notifikasi lima produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan produk berkenaan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Radzi Abu Hassan, berkata produk berkenaan ialah Skinsister Babyskin Treatment Cream, Sahaana Fairness Cream, Skinmade AZ & Salicylic Acid + Licorice Root Serum, Glowing Night Cream dan Glowing Herba Night Cream.

Beliau berkata Skinsister Babyskin Treatment Cream dan Sahaana Fairness Cream dikesan mengandungi merkuri, manakala Skinmade AZ & Salicylic Acid + Licorice Root Serum mengandungi asid azelaik.



“Glowing Night Cream pula dikesan mempunyai hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate, manakala merkuri dan betamethasone 17-valerate didapati terkandung dalam produk Glowing Herba Night Cream.

“Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta mengganggu perkembangan otak kanak-kanak atau janin selain menyebabkan ruam dan iritasi pada kulit.

“Produk yang mengandungi asid azelaik, hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata asid azelaik boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu mengalami rasa terbakar, kegatalan, kesan kemerahan, kulit mengelupas dan perubahan warna kulit.



Hidrokuinon pula katanya, boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra ungu (UV) berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Radzi berkata penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Betamethasone 17-valerate pula menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat, katanya.

Beliau menggesa penjual dan pengedar agar menghentikan penjualan serta pengedaran semua produk berkenaan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.



Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu berdepan hukuman maksimum denda RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Beliau berkata syarikat yang melakukan kesalahan berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Status notifikasi sesuatu produk kosmetik boleh disemak dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store.



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dulu Pelakon Kini Pramugara



Ingat saya lembik – Shila Amzah

Transgender dipantau tentera saat tunai umrah (Video)



Wanita tayang punggung, payudara di Sabah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker