Calon MB Kelantan, Nik Amar malu-malu

Mohd Amar ditanya mengenai kesediaannya jika dinamakan sebagai menteri besar yang baru untuk Kelantan.

Soalan itu dibangkitkan kerana penyandang jawatan tersebut, Ahmad Yakob, sudah menyatakan bahawa penggal ini adalah yang terakhir untuk dia menjadi wakil rakyat.

Ia sekali gus membuka pelbagai spekulasi mengenai penggantinya. Kedudukan Mohd Amar yang sudah berkhidmat sebagai timbalan Ahmad sejak 2013 menguatkan kemungkinan dia akan menjadi menteri besar ke-19 Kelantan.

Semasa menjawab pertanyaan media, Mohd Amar juga sempat berseloroh mengenai masa depan politiknya.

“Saya nak jadi perdana menteri,” katanya disusuli dengan ketawa.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah menyatakan beban tanggungjawan yang digalasnya sebagai timbalan menteri besar Kelantan selama ini sudah cukup berat.

Justeru katanya dia tidak terfikir pun untuk mendapatkan jawatan yang lebih tinggi daripada apa yang sudah dilaluinya.

Cuma dia yang akan cuba mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor untuk penggal kelima terpaksa akur terhadap apa saja ketentuan Ilahi.

“Setakat ini (jawatan yang ada) dah cukup bagi saya secara peribadi.

“Jawatan sekarang pun bebannya berat, tetapi ketentuan Allah kita tak tahu,” katanya pada sidang media harian calon-calon PAS bagi pilihan raya negeri (PRN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini Ahmad selaku menteri besar sementara Kelantan sudah menjelaskan PAS tidak berdepan dengan masalah untuk mencari wakil rakyat bagi menggantikan tempatnya.

Hal itu kerana kata Ahmad semua calon PAS kali ini layak untuk menjadi menteri besar.

Menurut Ahmad keputusan mengenai menteri besar baru Kelantan hanya akan diumumkan selepas PRN berakhir Sabtu ini dan PAS-PN berjaya membentuk kerajaan negeri.

“Tidak perlu bayangan, semua (calon yang bertanding pada PRN) dah layak menjadi menteri besar,” katanya.

Sementara itu Mohd Amar berkata, bagi PAS dan PN nama calon menteri besar adalah tidak penting kerana matlamat utama gabungan itu ialah mengekalkan kemenangan di Kelantan.

“(Kalau) Kita nak cakap calon menteri besar, tiba-tiba kita tak boleh menang pada PRN ini, buat apa?

“Kita fokus nak menang dahulu. Menteri besar ini, yang pertamanya akan diputuskan oleh PAS Pusat terutama presiden, (kemudian) kedua perlu dapat perkenan istana. Ini dua faktor penting.

“Sebab itu kita di peringkat negeri tidak pernah bincang pun siapa nak jadi menteri besar,” jelasnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker