Melaka Rintis Kampung Digital, Terjemah Keupayaan UMNO Realisasikan Pentadbiran

Melaka Rintis Kampung Digital, Terjemah Keupayaan UMNO Realisasikan Pentadbiran

Melaka Rintis Kampung Digital, Terjemah Keupayaan UMNO Realisasikan Pentadbiran

MELAKA, 18 April – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan Kampung Digital yang dirintis negeri berkenaan membuktikan keupayaan kerajaan negeri yang diterajui UMNO dalam membawa dasar jelas serta pelaksanaan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Ujarnya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, pelaksanaan Kampung Digital yang melibatkan lebih 82,000 rumah dan premis di seluruh negeri kini telah menerima manfaat daripada inisiatif transformasi luar bandar.

Menurut beliau, gagasan “Melaka Sayang Rakyat” menjadi tunjang utama pentadbiran negeri yang diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif inklusif dan menyeluruh.

“Melaka tampil sebagai perintis Kampung Digital yang bukan sahaja memperkenalkan alamat digital kepada lebih 82,000 kediaman dan premis, malah sedang bergerak ke arah pelaksanaan ternakan digital dan kubur digital. Ini adalah bukti bahawa Melaka berani meneroka pembaharuan demi kemudahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Cawangan-cawangan UMNO seluruh Negeri Melaka 2026 yang telah disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Agama Bukan Alat Untuk Raih Sokongan Politik Murahan – Shaiful Hazizy


Dalam pada itu, Ab Rauf turut menegaskan bahawa sepanjang tiga tahun menerajui kerajaan negeri, lebih 200 pencapaian dan inisiatif berjaya direalisasikan hasil komitmen berterusan seluruh jentera parti.

“Alhamdulillah, Melaka masih mengekalkan sifar miskin tegar, selain lebih RM419.1 juta diperuntukkan bagi pelbagai inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, kekuatan ekonomi negeri turut diperkukuh apabila Melaka merekodkan nilai pelaburan tertinggi dalam tempoh 20 tahun berjumlah RM14.68 bilion.

Selain itu, katanya, pelaksanaan inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) dengan penglibatan 1,633 sukarelawan telah berjaya mengendalikan lebih 400 kes kecemasan, manakala hampir RM70 juta diperuntukkan bagi pembangunan belia dan anak muda.

Dalam sektor pelancongan pula, Ab Rauf memaklumkan inisiatif seperti Zon Bebas Kenderaan dan Uptown Pahlawan Walk kini menarik hampir 30,000 pengunjung setiap hujung minggu serta memberi manfaat kepada lebih 500 peniaga tempatan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

UMNO Cawangan Perlu Jadi “Rumah Bangsa”, Dekat Dengan Isu Rakyat


Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa setiap pencapaian yang direkodkan bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan kehidupan rakyat yang semakin terbela.

“Di sebalik setiap angka, ada rakyat yang terbela… di sebalik setiap inisiatif, ada kehidupan yang berubah. Inilah roh sebenar Melaka Sayang Rakyat yang kita perjuangkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli parti agar terus memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab dalam mendepani cabaran semasa, dengan pendekatan yang lebih dekat, cepat dan tepat bersama rakyat. – UMNO Online

Melaka Rintis Kampung Digital, Terjemah Keupayaan UMNO Realisasikan Pentadbiran

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jangan Perlekeh Keadaan Semasa, Simpati Nasib Rakyat – Mohd Razlan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker