Bomoh minta kain kapan orang mati dibunuh untuk rawat penyakit

Bomoh minta kain kapan orang mati dibunuh untuk rawat penyakit

PADA 2007, Che Intan Mat Zain mendapati dirinya kerap terjatuh tanpa sebarang sebab setiap kali dia berjalan.

“Akak tak pergi hospital sebab rasa takut,” katanya.



Sebaliknya, wanita berusia 62 tahun dari Pokok Sena, Kedah itu memilih berjumpa bomoh.

Sepanjang tiga tahun dia mendapatkan rawatan daripada bomoh itu, bahan-bahan yang diminta bagi mengubati penyakitnya – kononnya disebabkan oleh hantu yang bergayut di kakinya dan menyebabkan dia terjatuh. Semakin lama semakin tidak masuk akal dan ini belum lagi diambil kira kos yang mencanak.

Antara barang yang diminta oleh bomoh itu ialah kain kapan orang yang mati dibunuh pada hari Selasa dan jantung burung bulbul yang mati akibat patah hati.

Jika dia tidak dapat mencari barang yang diperlukan itu, bomoh itu akan tawarkan kepadanya pada harga ribuan ringgit.



Lama-kelamaan dia tersedar.

“Pi (pergi) jumpa doktor sebab rasa ditipu dengan (bomoh) minta yang pelik,” kata wanita yang mempunyai dua orang cucu itu.

Selepas berjumpa doktor, dia didiagnosis menghidap barah otak. Saiz tumor di dalam otaknya juga menjadi begitu besar hingga menyebabkan dia mengalami strok dan kehilangan penglihatan serta pendengaran di sebelah kiri.

Bagaimanapun doktor memberitahunya yang dia bernasib baik kerana mungkin tidak dapat diselamatkan jika terlambat sedikit sahaja lagi dalam mendapatkan pembedahan dan rawatan.



Tetapi, semua itu berlaku selepas dia membelanjakan sekitar RM60,000 serta terpaksa menjual rumahnya bagi membiayai kos rawatan dengan bomoh itu.

Kini, dia, suaminya serta anak lelaki mereka yang berusia 16 tahun, menumpang tinggal dengan ibunya yang berusia 86 tahun, di sebuah rumah kecil satu bilik.

Berasa terpanggil untuk memberi amaran kepada orang lain, Che Intan berkongsi kisahnya dengan penghidap kanser menerusi kumpulan sokongan Cancer Survivors Malaysia (CSM).

Pertubuhan ini menjalankan pelbagai program kesedaran di seluruh negara, dan Che Intan terbabit secara aktif sama ada dalam talian ataupun hadir secara fizikal.



Dia akan bercerita tentang bahaya percayakan rawatan tradisional dan alternatif yang tidak diiktiraf bagi merawat kanser, tanpa berjumpa doktor terlebih dahulu.

Pengasas dan Presiden CSM, Zuraini Kamal, yang beliau juga pernah terpedaya dengan janji manis yang diberikan oleh pengamal perubatan tradisional dan alternatif.

Katanya, beliau membelanjakan hampir RM100,000 untuk rawatan yang tidak diiktiraf.

“(Dari) saat kita tahu kita kena kanser, kita (cuma fikir) kita nak hidup.



“Apa sahaja orang (pengamal perubatan alternatif) jual, orang suruh kita makan, kita makan. Semua jenis rumput, herba dan jamu,” katanya.

Beliau kini bebas kanser. Tegas Zuraini, amat penting untuk masyarakat melindungi pesakit daripada pengamal perubatan tradisional dan alternatif yang bersikap menangguk di air keruh.

Isu ini semakin serius susulan peningkatan populariti perubatan tradisional dan alternatif.

Di Malaysia, ada undang-undang khusus yang melindungi orang awam daripada salah amalan perawat perubatan tradisional dan alternatif, iaitu Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 yang dikuatkuasakan dalam tiga fasa sejak 1 Ogos 2016.



Menerusi akta itu, Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari ditubuhkan bagi mendaftar pengamal, menggubal standard amalan serta kelayakan, selain mengambil tindakan undang-undang terhadap kesalahan seperti tidak mendaftar dengan majlis itu.

Kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah membawa hukuman penjara hingga dua tahun dan denda RM30,000 atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan penjara hingga tiga tahun serta denda RM50,000 untuk kesalahan berikutnya.

Zuraini berkata, pihaknya mahu semua ahli CSM dan pesakit kanser tentang hak mereka di bawah undang-undang.

Dalam kalangan 30,000 lebih ahli CSM, empat daripada lima orang mendapatkan rawatan tradisional dan alternatif.

“Saya lakukan ini kerana saya juga pernah menjadi mangsa,” kata Zuraini.

Namun kata pakar, undang-undang itu hanya berkesan jika dimanfaatkan oleh orang ramai dan pihak berkuasa.

Di Malaysia, perubatan tradisional, komplementari dan alternatif adalah kaedah rawatan yang popular sejak dahulu lagi dan turut diiktiraf sebagai satu cabang perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setakat 2015, terdapat 13,846 pengamal perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) berdaftar di bawah Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari.

Pakar kesihatan mengiktiraf PT&K berdasarkan pendekatan menyeluruh cabang perubatan itu dalam mempromosikan kesihatan, mencegah penyakit serta membantu individu merawat gangguan kesihatan dengan mengawal aspek fizikal, emosi dan mental serta persekitaran hidup mereka.

Bagaimanapun PT&K tidak harus menggantikan rawatan perubatan konvensional, kata Dr Cecilliann Veronica daripada SOL Integrative Wellness Centre yang menawarkan rawatan komplementari kepada pesakit kanser.

Kata pengamal perubatan fungsian itu, tujuan mereka ialah membantu dan menambah baik fungsi tubuh manusia dengan menggemblengkan perubatan konvensional serta PT&K.

“Ada pesakit yang menjalani rawatan konvensional seperti kemoterapi, radioterapi, namun pada masa sama mereka turut lakukan perkara lain bagi menyokong sistem tubuh, terutama sistem imun, selain bagi menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.

“Di sinilah saya memainkan peranan sebagai perawat, iaitu mendidik mereka.

“Perlu ada (soalan) ‘Apa lagi (yang boleh dilakukan)’ selepas tahap akut (seperti membuang tumor),” tambahnya.

Kata beliau, terapi yang ditawarkan mereka adalah berdasarkan bukti dan menumpukan pada keseluruhan tubuh dengan membantu dari segi perubahan pemakanan dan gaya hidup seperti pengurusan stres, agar penghidap kanser dapat menjalani kehidupan secara sihat.

Stres contohnya, mungkin mempunyai kesan tidak langsung terhadap kanser dengan cara menghalang proses yang dipanggil anoikis, iaitu satu keadaan di mana sel berpenyakit mati dan mencegah sel-sel terbabit daripada merebak, kata Pengarah Urusan Anderson Cancer Centre, University of Texas, Dr Anil K Sood.

Pakar berkata yang menjadi masalah ialah apabila pengamal PT&K, sama ada berdaftar atau tidak, menawarkan produk mereka sebagai satu cara menyembuhkan atau mencegah kanser serta penyakit lain tanpa mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan atau meminta pesakit mendapatkan rawatan hanya daripada mereka – sesuatu yang diharapkan oleh pakar dapat ditangani menerusi Akta PK&T.

Piawaian berbeza

Pakar berpendapat satu daripada sebab pesakit mudah diperdaya oleh pengamal PT&K yang menipu ialah perbezaan di antara perubatan konvensional dan PT&K sukar difahami.

Dari satu segi, doktor perubatan dan syarikat farmaseutikal dituntut oleh undang-undang dan juga kod etika agar tidak keterlaluan dalam janji mereka atau mengelirukan pesakit.

“Kami elak guna perkataan ‘sembuh’ kerana, sekalipun di tahap satu atau dua (rawatan) yang bertujuan menyembuhkan, pesakit mungkin relaps dan kembali mendapatkan rawatan, jadi kami amat berhati-hati tentang penggunaan perkataan sembuh,” kata pakar etika perubatan yang turut berkepakaran dalam bidang onkologi, Dr Astrid Sinarti Hassan.

Di bawah Akta PT&K, pengamal perubatan bidang itu dilarang mengelirukan atau menjanjikan kesembuhan penyakit seperti kanser.

Mereka juga diwajibkan menjalani latihan berkaitan di pusat pengajian yang diiktiraf oleh KKM.

Bagaimanapun pada masa ini, syarat itu tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.

Sekalipun peraturan dan piawaian bagi produk PT&K dialu-alukan, aspek itu tidak setanding syarat yang perlu dipatuhi oleh doktor perubatan dan syarikat farmaseutikal.

Pengajian dan latihan perubatan mengambil masa bertahun-tahun, dan untuk menjadi pakar pula mengambil masa yang lebih lama.

Sepanjang kerjaya, mereka dituntut menyambung pengajian dan sentiasa melengkapi diri dengan penemuan perubatan terkini.

Bagi syarikat farmaseutikal pula, organisasi itu perlu melepasi ujian yang ketat, melalui pelbagai fasa bermula dari piring petri hinggalah kepada ujian ke atas haiwan dan manusia, dengan memperoleh keputusan yang konsisten sebelum mendapatkan kelulusan untuk dipasarkan. Keseluruhan proses mengambil masa bertahun-tahun dan berterusan sekalipun setelah mendapat kelulusan.

Kesediaan buat laporan

Pakar bersetuju bahawa pengamal PT&K yang menipu ini terlepas daripada tindakan selama bertahun-tahun disebabkan oleh ketiadaan penguatkuasaan dan undang-undang.

Tetapi, keadaan itu juga mungkin berpunca daripada pesakit sendiri.

“Pesakit percaya kepada mereka kerana apabila kita bercakap tentang perubatan tradisional dan alternatif, kaedah itu adalah jalan keluar paling mudah,” kata Dr Astrid yang merupakan pensyarah perubatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sehubungan itu, kata beliau, amat penting bagi pesakit mendidik diri mereka, keluarga serta rakan.

Beliau dan pakar yang lain berkata amat penting bagi pesakit mengambil kira pandangan doktor mereka semasa membuat keputusan perubatan, terutama jika mereka memilih PT&K.

Penting pesakit mengetahui hak mereka di bawah undang-undang.

Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu memupuk budaya melaporkan pelanggaran undang-undang, sama ada melibatkan pengamal PT&K atau pihak lain.

Keseluruhan masyarakat akan beroleh manfaat jika ahli masyarakat, khususnya mangsa itu sendiri, sedia membuat laporan tentang pengamal perubatan tidak jujur. BH

Bomoh minta kain kapan orang mati dibunuh untuk rawat penyakit

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Nasi ayam harga RM14 lauk ‘ciput’ buat pelanggan terkejut

Madu Marissa, Misya dan Aslam makan semeja, netizen pertikai kenapa kahwin dua

Enakmen Syariah Kelantan bukan Hudud bukan Qisas – Nik Elin

Tular gambar Nik Elin-Takiyuddin bersama, Awang Hashim sentap

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker