Zahid berlapang dada?
Presiden Umno tidak harus dipersalahkan dalam keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.
Zahid berlapang dada?
oleh Hishamuddin Aun
“Tidak ada ugutan… Zahid presiden Umno ada di sini. Dia tak pernah bagi kata dua pada saya. Tapi isu yang dibangkitkan kononnya sebab kita longgar terhadap permasalahan rasuah. Tidak benar. Proses badan kehakiman diteruskan. Tapi ada hak dia atau partinya memohon perdana menteri dan Lembaga Pengampunan memberi pertimbangan dengan alasan-alasan mereka,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Video ucapan perdana menteri pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam seakan-akan satu perakuan bahawa timbalan perdana menteri tidak lari daripada janjinya untuk berusaha mendapatkan pengampunan penuh buat bekas perdana menteri Najib Razak. Berdiri di sebelah perdana menteri, Zahid tidak menunjukkan sebarang reaksi tapi harus mengeyakan ucapan berkenaan.
Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno pada 9 Jun tahun lalu, Zahid mendesak supaya Najib diberi keadilan sewajarnya. Desakan itu disuarakan di hadapan Anwar yang mengikuti ucapan dasar itu dan disambut laungan ‘Bebaskan Bossku’. Ramai perwakilan dilihat memegang poster bertulis ‘Solidariti Untuk Najib Razak’ sebagai tanda sokongan terhadap bekas presiden Umno itu.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan minggu lalu hanya memendekkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta selepas Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022 menolak rayuan terakhirnya dalam kes SRC International. Gara-garanya ada banyak komen dalam kalangan Umno yang tidak berpuas hati, sebahagiannya meluahkan rasa kecewa, termasuk daripada seorang yang berasa parti itu dipermainkan. Namun, mereka akur dengan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan menghormati keputusan Lembaga Pengampunan.
Seperti dijelaskan Anwar, menjadi tanggungjawabnya sebagai perdana menteri memastikan setiap permohonan rayuan didengar lembaga. Selaku ahli Lembaga Pengampunan, tambahnya, beliau boleh memberi pandangan, namun keputusan akhir terletak pada keihsanan Yang di-Pertuan Agong.
Seperti dimaklumkan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki selepas sesi taklimat tertutup di ibu negara Ahad lalu, ketua-ketua bahagian Umno berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Zahid berhubung sebab Najib tidak diberi pengampunan penuh. Semua pimpinan juga sepakat bersatu hati meneruskan usaha pembelaan terhadap Najib dan mendapatkan pengampunan penuh untuknya dengan membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Namun, di sebalik Ahli MKT Ahmad Maslan berkata Zahid telah berusaha sebaik-baiknya mendapatkan pengampunan penuh untuk Najib, masih ada cakap-cakap di belakang yang mempertikaikan perkara itu. Antara yang lantang mengkritik ialah bekas ahli MKT Isham Jalil yang mendakwa Zahid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman sekadar bermain wayang dan mesyuarat MKT Umno Sabtu lalu hanya membuang masa. Juga dakwanya Kolokium Ekonomi Bumiputera yang dijadualkan Sabtu lalu terpaksa ditangguhkan kerana Zahid bimbang akan dihentam oleh akar umbi berhubung keputusan pengampunan Najib.
“Lepas mesyuarat Umno, kita lihat apa wayang dia dan apa lagi dia nak tipu akar umbi Umno berkenaan pengampunan DS Najib. Mungkin dia akan berlakon sebak dan nangis-nangis lagi untuk tagih simpati supaya akar umbi dan penyokong Najib tidak hentam dia. Atau dia akan salahkan pihak lain,” katanya di Facebook. Sebagai rekod, Isham dipecat MKT Umno pada 6 Dis tahun lalu kerana melanggar peraturan parti termasuk tindakannya mengkritik pucuk pimpinan secara terbuka serta melabel parti itu sebagai ‘barua DAP’.
Kemudian, timbul pula desas-desus ada usaha mahu menggulingkan Zahid sebagai presiden oleh ketua-ketua Umno bahagian Ahad lalu. Perkara itu tular di media sosial. Menepis desas-desus itu, Ahmad menganggapnya tidak lebih sebagai momokan pihak-pihak tertentu yang ingin melihat Umno berpecah-belah.
Pada hari yang sama, Naib Presiden Khaled Nordin turut menafikan ada gerakan menggulingkan Zahid yang kononnya didalangi ketua-ketua bahagian. Beliau tidak tahu bagaimana dakwaan itu timbul ketika pucuk pimpinan sedang berusaha menyelesaikan isu pengampunan Najib. “Surat kalau ditandatangani (ketua bahagian) pun, presiden tak akan terguling. Jadi, buat apa nak tandatangan surat. Mana ada,” katanya selepas lawatan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia di Kota Tinggi.
Kedua-duanya, Ahmad dan Khaled, turut mempertahankan bahawa Zahid sudah berusaha sebaik-baiknya bagi mendapatkan pengampunan penuh untuk Najib sesuai dengan undang-undang di samping akur bahawa pengampunan hak mutlak dan budi bicara Agong sepenuhnya. Namun, sudah menjadi resmi dalam Umno bahawa tiada angin masakan pokok bergoyang, desas-desus itu tidak mungkin dapat dilenyapkan sepenuhnya.
“Umno memahami dan mengakui ia adalah kuasa mutlak budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Walaupun ada ribut dan desakan berlaku, ia di luar apa yang kita boleh lakukan. Umno menerima dan menghormati keputusan berkenaan. Bagaimanapun kita akan terus berusaha memohon pengampunan untuk Najib Razak,” kata Khaled.
Selepas seminggu, apa saja yang patut diluahkan terhadap keputusan Lembaga Pengampunan sudah pun dinyatakan – sesetengahnya mungkin melangkaui batas susila terhadap Agong terdahulu. Seperti diingatkan oleh Naib Presiden Johari Ghani, ahli parti hendaklah menghormati dan menerima keputusan Lembaga Pengampunan. “Kita kena terimalah apa saja keputusan dibuat Lembaga Pengampunan. Kita sebagai ahli Umno kena akur kepada keputusan dan ‘move on’. Kita tunjuk kepada masyarakat bahawa Umno akan terus bekerjasama dan bergerak untuk memastikan bahawa boleh dibaik pulih menjelang 2027,” katanya.
Senada dengannya, Asyraf Wajdi tidak lagi mahu wujudnya suara sumbang mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan. Kuasa mutlak Agong yang tidak boleh dipertikaikan di dalam Perlembagaan dan keputusan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hendaklah dihormati. “Kita harap jangan ada suara sumbang di luar sana yang mempertikaikan apa yang telah diputuskan Yang di-Pertuan Agong terdahulu dalam konteks Lembaga Pengampunan,” katanya.
Elok diulangi temu bual Zahid dengan Berita Harian mengenai soal pengampunan untuk Najib yang tersiar pada 8 Okt 2023:
“Umno sudah buat keputusan dalam MKT dan perhimpunan agung berhubung permohonan pengampunan Najib. Dalam hal ini, kuasa penentu adalah Yang di-Pertuan Agong. Memorandum sudah diserahkan kepada Tuanku dan Lembaga Pengampunan. Kita tak boleh memaksa tapi kita sudah berusaha. Kita perlu letakkan kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil keputusan kerana baginda pengerusi Lembaga Pengampunan. Najib yang saya temui ketika di mahkamah atau ketika lawatan, beliau kata mahu bantu Umno dan menyatakan ‘I want my family back’, itu sahaja dari beliau. Maka apa yang kita perlu khuatirkan?
“Saya dengan Najib lebih lama berbanding orang lain dalam Umno. Saya jadi setiausaha politik Najib sejak 1 Oktober 1987 dan sehingga sekarang, saya tak pernah lari dari beliau.” FMT
Zahid berlapang dada?
Baca Artikel Menarik:
- Maut selepas cabut gigi
- Jangan sampai kami cadangkan UMNO tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan
- Anwar cabar pembangkang bongkar salah laku kerajaan
- 5 anggota polis ditahan disyaki peras ugut pekerja kilang
- Latheefa dakwa Anwar salahkan Agong
- Saya tak lena tidur selagi tiada penjelasan polis
- Noh boleh cari saya – Essam
- Saya buat kerja gila – Azizulhasni
- Polis peronda dilanggar lari
- Tony Pua ‘menjawab’ kepada Bukit Aman ditemani Guan Eng
- Lantikan Syed Hussin ‘tamparan’ buat pembangkang
- UMNO berhak – Anwar
- Tony Pua sindir IGP
- Gerakan ‘ketua bahagian’ mahu gulingkan Zahid sebagai Presiden UMNO dinafikan
- Najib amat sedih dan kecewa
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Benarkah Fatiya Latiff dibuang keluarga?
You must be logged in to post a comment.