China tegak keadilan dalam isu Palestin – Xi Jinping

China tegak keadilan dalam isu Palestin – Xi Jinping

Presiden China Xi Jinping berkata China konsisten dalam pendirian menegakkan keadilan dalam isu Palestin selain aktif menggalakkan rundingan damai dan terus menyediakan bantuan kemanusiaan serta pembangunan kepada Palestin.

Demikian kata Presiden Xi dalam perutusan tahniah kepada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sempena Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin yang diadakan pada Rabu.

Xi menyifatkan isu Palestin sebagai isu teras kepada masalah Asia Barat yang juga melibatkan kesaksamaan dan keadilan antarabangsa.

“Konflik Palestin-Israel berpunca dari tangan “ghaib” yang menghalang rakyat Palestin dalam usaha merealisasikan hak mereka yang sah untuk menubuhkan satu negara yang merdeka.

“Berulang kali berlakunya konflik Palestin-Israel membuktikan peri pentingnya untuk menegakkan konsep keselamatan bersama bagi mewujudkan keselamatan yang mampan.

“Masyarakat antarabangsa mesti bertindak dengan segera dan Majlis Keselamatan PBB perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya untuk menggalakkan gencatan senjata, menamatkan pertempuran dan melindungi keselamatan penduduk awam bagi membendung bencana kemanusiaan.

“Rundingan damai Palestin-Israel perlu disambung semula dengan secepat mungkin bagi merealisasikan hak rakyat Palestin dalam menubuhkan negara, kelangsungan hidup dan kembali ke kampung halaman mereka secepat mungkin,” kata Xi.

Xi menegaskan China teguh menyokong usaha keadilan bagi memulihkan hak rakyat Palestin yang sah.

“Penyelesaian kepada isu Palestin terletak pada penubuhan negara Palestin yang merdeka yang boleh menikmati kedaulatan sepenuhnya berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Perlunya memastikan pembangunan ekonomi dan mata pencarian rakyat Palestin terjamin dan masyarakat antarabangsa perlu meningkatkan bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada Palestin.

“Selain itu, landasan rundingan damai yang betul perlu dikekalkan dan persidangan damai antarabangsa yang lebih berwibawa perlu diadakan secepat mungkin,” kata Xi.

Xi berkata China yang mengemukakan Inisiatif Keselamatan Global menyokong penyelesaian perselisihan dan pertikaian antara negara melalui dialog dan rundingan dan menyokong semua usaha yang kondusif bagi penyelesaian krisis secara damai.

“China, sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk membina konsensus antarabangsa yang menggerakkan kedamaian, menggalakkan penyelesaian isu Palestin kembali ke landasan yang betul, berpandukan ‘penyelesaian dua negara’ agar isu itu diselesaikan secara komprehensif, adil dan berkekalan,” kata Xi. Aw

China tegak keadilan dalam isu Palestin – Xi Jinping

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

PAS ‘melompat’ dengan sokongan MP Bukit Gantang kepada PM

Tok Ram punya pasal, Alyah yang kena

Bersatu berpecah, menunggu karam – Mohd. Sharkar

Saya bukan muka T20 – Shuib

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker