Buat video jelik terhadap Ismail Sabri & UMNO, blogger dibebaskan mahkamah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang blogger daripada pertuduhan membuat serta menghantar video jelik terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO menerusi aplikasi TikTok.

Hakim N Priscilla Hemamalini turut membebaskan Jufazli Shi Ahmad, 34, selaku Orang Kena Saman (OKS) daripada pertuduhan gagal memberi kata laluan laman profil TikTok @King Maker yang disimpan dalam telefon bimbitnya.

Priscilla membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Jufazli di akhir kes pendakwaan.

“Oleh itu, OKS dilepaskan dan dibebaskan bagi kedua-dua pertuduhan,” katanya.

Seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula Mei lepas.

Pada 7 Julai 2022, Jufazli mengaku tidak bersalah atas dakwaan memuat naik video bertajuk ‘Pak Mail dan UMNO naikkan harga barang sangat mahal pada 1 Julai 2022’ dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi TikTok@King Maker pada 3 petang, 23 Jun 2022.

Pautan video itu dilihat dan dibaca pada 3 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 24 Jun, tahun sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya selain denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Jufazli juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal memberi kata laluan laman profil aplikasi TikTok @King Maker yang disimpan dalam telefon bimbit kepada pegawai polis di IPD Dang Wangi pada 3 petang 5 Julai tahun lepas, mengikut Seksyen 249 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal manakala peguam, Ramesh NP Chandran, Tejal Harash dan Mansheel Kaur mewakili Jufazli. – Bernama

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

PAS ‘melompat’ dengan sokongan MP Bukit Gantang kepada PM

Tok Ram punya pasal, Alyah yang kena

Bersatu berpecah, menunggu karam – Mohd. Sharkar

Saya bukan muka T20 – Shuib

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker