China tiada asas dakwa ZEE miliknya

China tiada asas dakwa ZEE miliknya

China disifatkan tidak mempunyai asas mengikut undang-undang antarabangsa untuk meletakkan kawasan negara ini, khususnya perairan Sabah dan Sarawak dalam daerah kekuasaannya seperti digambarkan menerusi peta standard edisi 2023 negara itu.

Geostrategis yang juga Felo Kanan Akademi Nusantara NASR, Prof Dr Azmi Hassan, berkata ini kerana kawasan yang dimaksudkan dalam peta itu adalah Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).



“Malaysia ada asas undang-undang, bukan sahaja bertindih dengan negara kita, malah dengan Vietnam dan Filipina pun bertindih kerana ZEE.

“Berasaskan perundangan maritim antarabangsa, Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), China tak ada asas undang undang, jadi dalam hal ini kita tidak perlu terkejut atau merasa gempar,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas peta terbaharu China yang dilapor dikeluarkan Kementerian Sumber Asli negara itu yang menunjukkan kawasan sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak dimasukkan sebagai sebahagian wilayah negara itu.

Azmi menyifatkan, perkara terbabit bukan sesuatu yang baharu ataupun mengejutkan kerana peta yang terkini itu diambil daripada kedudukan Nine Dash Line (Sembilan Garis Putus) kerana China mendakwa 90 peratus Laut China Selatan itu milik mereka.



“Sebenarnya, kawasan garis itu tidak ada koordinat. Kalau kita tanya China, di mana kedudukan garisan itu, mereka tidak dapat nyatakan kerana tiada koordinatnya.

“Garis itu adalah berasaskan zaman sejarah lampau China dahulukala dan sebenarnya tidak termasuk perairan Sabah dan Sarawak, sebaliknya termasuk dalam kawasan ZEE Malaysia di perairan dua negeri itu,” katanya.

Azmi berkata, China sejak dahulu lagi, mengeluarkan peta sedemikian dan bezanya sekarang, mereka mengeluarkan peta yang mengatakan ZEE adalah milik mereka.

“Sebenarnya ZEE itu bukan milik kita, tetapi PBB memberi kuasa kepada pemilik ZEE untuk meneroka, menjaga dan mentadbir, namun bukan milik kita.



“Milik kita adalah garisan maritim daripada garis pantai 12 batu nautika ke arah laut, itu adalah perairan kedaulatan dan garis itu itu tidak merentasi atau bertindih dengan 12 batu nautika kita.

“Inilah yang dikatakan perbezaan di antara kawasan perairan maritim berdaulat 12 batu nautika dengan ZEE yang terletak 200 batu nautika, bukan milik negara, tetapi diberi kuasa mentadbir, mencari gali minyak atau mineral lain,” katanya.

Segera buat bantahan

Pakar undang-undang maritim antarabangsa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, pula menyarankan Malaysia segera membuat bantahan terhadap tindakan China itu, selain mengeluarkan peta baharu negara kerana yang terakhir dibuat adalah pada 1979.



“Wisma Putra perlu protes dan kita perlu selalu membuat kenyataan yang kita tidak mengakui Sembilan Garis Putus yang dituntut China (di Laut China Selatan).

“Kita perlu terus-menerus menegaskan yang kita memiliki hak berdaulat ke atas Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mohd Hazmi berkata, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) perlu mengeluarkan peta terkini Malaysia, yang menunjukkan persempadanan negara, termasuk hak ke atas perairan di Sabah dan Sarawak.

“China sudah keluarkan peta dan Indonesia mengeluarkannya pada 2017. Malaysia bila lagi? Saya pasti kalau kita keluarkan peta baharu yang meletakkan perairan Sabah dan Sarawak milik negara kita, China akan bantah. Jadi, buat sajalah kerana yang penting, kita ada peta baharu,” katanya.



Mengulas lanjut mengenai tindakan China memasukkan sebahagian besar perairan di luar Sabah dan Sarawak ke dalam petanya, Mohd Hazmi berkata, China mendapat banyak nasihat undang-undang antarabangsa.

“Mengikut amalan negara, jika kita mahu menuntut sesuatu kawasan atau negara itu, dan negara itu mahu caranya diakui, ia akan sentiasa lakukan tentangan berterusan.

“Sebab itu, dalam undang-undang antarabangsa, ada konsep dipanggil persistence objector (melakukan tentangan berterusan). Walaupun satu dunia membantah Sembilan Garis Putus tu, China tetap berkeras itu wilayahnya.

“Ia ada kekuatan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kawasan itu miliknya seperti didakwa, dengan menghantar tentera, nelayan dan mengeluarkan peta baharu,” katanya.



Mohd Hazmi menyifatkan Malaysia lebih banyak berdiam diri dalam isu tuntutan berkenaan dan hanya membuat kenyataan jika ada sebarang isu yang timbul, yang kemudian reda semula.

“Jika Malaysia tidak puas hati, jangan berdiam diri. Bagi saya, langkah yang paling bagus adalah kerajaan mengkoordinasi isu maritim dan Wisma Putra meneruskan bantahan, selain JUPEM mengeluarkan peta baharu.

“Jangan kita ulangi kesilapan di zaman kesultanan dahulu, yang mana kita beri saja kawasan yang diminta British. Sekarang kita ada perairan yang sememangnya milik kita tapi dituntut negara lain. Jika negara lain berkeras dengan tuntutan mereka, kenapa kita tidak boleh tunjukkan perkara sama,” katanya. BH

China tiada asas dakwa ZEE miliknya

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rita Rudaini dah nikah?

Puteri Sarah mahu saman, ini teguran Yusof Haslam

DSV jangan takbur sangat

Guru benarkan pelajar Hindu pukul pelajar Islam di India

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker