Warden penjara dedah rahsia, suami Mona Fandey bijak

PETALING JAYA: Ketika Zakir Husin, warden penjara ditugaskan menjaga banduan berdepan hukuman mati di Kajang pada 1997, banduan pertama yang ingin dilihatnya adalah Affandi Rahman, suami kepada pembunuh terkenal, Mona Fandey.

Seperti kebanyakan orang lain ketika itu, dia mengikuti rapat liputan berita melibatkan perbicaraan kes bunuh pasangan tersebut yang mengejutkan negara.

Mona, Affandi, dan pembantu mereka, Juraimi Husin, disabit bersalah dan dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh Mazlan Idris, Adun Batu Talam dengan kejam pada 1993.



Ketika berpeluang melihat sendiri ‘banduan selebriti’ secara dekat, Zakir berkata dia menggambarkan Affandi seorang kasar, licik, dan sombong, umpama si gila seperti Hannibal Lecter dalam filem, “Silence of the Lambs”.

Zakir Husin.

Zakir berkata, dia melalui satu sel ke sel lain dalam rondaannya di tingkat dua Blok Abadi, yang mana ketika itu menempatkan kira-kira 26 banduan.

“Kemudian, itu dia…duduk membatu dan mendiamkan diri di sejadah, yang mana dia banyak menghabiskan masanya,” kata Zakir mengimbau memori itu kepada FMT.

Dia berkata, Affandi tidak terpengaruh dengan perlakuan ganas beberapa banduan lain yang kadang-kadang melempar najis terhadap warden.



Dia dan Affandi secara beransur-ansur membina hubungan persahabatan selepas bertegur sapa, dengan perbualan berkenaan kewangan, ekonomi, dan perniagaan.

“Dia langsung tak berminat dengan sembang kosong atau gosip,” kata Zakir sambil menggambarkan Affandi berperwatakan tenang, terus terang, dan intelektual. Perbualan mereka digambarkan hampir seperti forum.

Zakir berkata, Affandi berharap satu hari nanti negara melahirkan ahli perniagaan yang mampu membina empayar di luar negara, bukan terhad di negara sendiri.

Dalam satu situasi, dia berkata, Affandi bercakap tentang krisis kewangan Asia 1997 dan waktu lain pula, berbicara bagaimana dia dan rakannya berjuang untuk mendapatkan perumahan lebih baik kepada penduduk setinggan.



“Baginya, tujuan utama berniaga bukan untuk mengejar kekayaan peribadi, tetapi membantu membangunkan ekonomi negara dan dihormati di persada antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, ada ketikanya, pemikiran Affandi melayang di tengah-tengah perbualan apabila Mona terlintas di fikirannya, kata Zakir.

“Dia akan berbisik, ‘saya kasihan Maznah’,” katanya penuh emosi, merujuk nama sebenar Mona, Nur Maznah Ismail.

Zakir berkata, dia tidak pernah memaksa Affandi bercakap berkaitan pembunuhan itu kerana ia sudah diselesaikan di mahkamah.



Persahabatan mereka terjalin selama dua tahun sebelum Zakir dipindahkan ke Majlis Daerah Kuala Selangor.

Pembunuhan Mazlan Idris, yang dikatakan melibatkan elemen mistik, kemasyhuran, dan kuasa, mendapat tumpuan masyarakat selama berminggu-minggu selepas anggota badannya yang dikerat ditemukan tertimbus dalam lubang disimen.

Mona, penyanyi yang menjadi bomoh, dan suaminya dilaporkan merancang plot membunuh ahli politik berkenaan sebagai membalas dendam berkait rundingan tanah yang gagal.

Pasangan itu dan Juraimi dihukum mati di Penjara Pudu, pada 2 Nov 2001, dua tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan menggugurkan sabitan mereka. Lembaga Pengampunan juga menolak pengampunan mereka.



“Saya tahu masanya akan tiba, tapi saya tak dapat menahan diri daripada bersedih,” kata Zakir. “Saya tidak akan sesekali bercakap buruk pasal Affandi sebab dia sudah menjalani hukuman, dan saya berdoa dia diampunkan di akhirat.”

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Jumpa kamu di alam lain Nad – Sharifah Sakinah

Aliff Syukri bengang pasal Ira dan Puteri Sarah

Berzina dengan ibu kandung

Saya tahu masalah Nad – Marsha Milan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker