Nur Jazlan dakwa bangsa Johor tolak Sanusi

Nur Jazlan Mohamed menggambarkan Sanusi Nor “berpersonaliti ekstrem” yang tidak akan mempengaruhi rakyat Johor termasuk pengundi pada PRK Parlimen Pulai.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, masyarakat Melayu Johor khususnya lebih bersederhana apabila membicarakan soal agama dan kaum.

Justeru, beliau yakin retorik agama dan kaum dibawa Perikatan Nasional (PN) tidak akan mempengaruhi rakyat negeri itu untuk mengundi pembangkang dalam PRK.



“Jangan keliru negeri-negeri utara dan pantai timur dengan negeri selatan Malaysia. Di Johor, orang seperti Sanusi tidak laku kerana orang Johor terima pendidikan agama melalui sekolah yang kerajaan, jadi bukan ekstremis.

“Melayu di Johor juga sangat objektif apabila mengundi dan tidak akan mudah terpengaruh oleh isu agama dan kaum dimainkan PN, mereka lebih sederhana,” katanya menurut Kosmo pada sidang media pengenalan calon PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, di Johor Bahru.

Nur Jazlan yang juga ketua Umno Pulai turut menyangkal dakwaan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin bahawa gabungan itu akan dapat menarik sokongan 90% pengundi Melayu pada PRK Parlimen Pulai.

Katanya, PAS khususnya tidak pernah ada kekuatan peringkat akar umbi di selatan Johor.



“…di utara Johor mungkin ada sedikit disebabkan pengaruh Muhyiddin, dan juga di kawasan Mersing, tetapi tidak untuk Pulai,” katanya.

Nur Jazlan yakin Pulai akan kekal dimenangi calon kerajaan perpaduan mengambil kira 33,000 undi diterimanya di kawasan itu ketika bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

“Ahli Umno Pulai adalah seramai 18,000 orang, manakala saya sendiri dapat 33,000 undi dalam PRU15 lalu. Saya akan pastikan ahli dan penyokong Umno berikan undi kepada calon kerajaan perpaduan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau meramalkan mungkin ada perpindahan undi daripada BN kepada PN, namun ia tidak akan membolehkan calon pembangkang menang kerusi itu.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker