Peguam Negara fail rayuan, tiga tuduhan pengubahan wang haram Muhyiddin kekal


Peguam Negara fail rayuan, tiga tuduhan pengubahan wang haram Muhyiddin kekal

Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membebas dan melepaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat tuduhan salah guna kuasa.

Muhyiddin menghadapi empat tuduhan empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk rasuah sebanyak RM232.5 juta bagi parti BERSATU.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata keputusan itu hanya membabitkan empat pertuduhan bagi kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.



Beliau berkata, tiga lagi tuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden BERSATU itu masih kekal.

“Tarikh sebutan (kes pengubahan haram) di Mahkamah Sesyen pada 19 September 2023.

“Pihak pendakwaan merujuk keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk (Muhammad) Jamil Hussin, disampaikan pada pagi ini (tadi) dalam kes permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Sebagaimana semua sedia maklum, mahkamah membenarkan permohonan Muhyiddin dan seterusnya memerintahkan pemohon dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.



Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin dilepas dan dibebaskan daripada empat tuduhan berkenaan di Mahkamah Tinggi apabila mahkamah dapati ia cacat.

Pengerusi PN itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Ini berikutan didakwanya tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.



Muhyiddin, 75, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.



Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. BH

Peguam Negara fail rayuan, tiga tuduhan pengubahan wang haram Muhyiddin kekal

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Sebab UMNO kalah teruk

Kamal Adli takut buka media sosial



Sharnaaz, Amelia kongsi momen jatuh cinta

Bikini Amy Nur Tinie bikin panas

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker