Sinead O’Connor meninggal dunia

Sinead O’Connor meninggal dunia

Penyanyi kelahiran Irish, Sinead O’Connor atau nama Islamnya, Shuhada’ Sadaqat meninggal dunia pada usia 56 tahun.

Pemergian penyanyi yang cukup dikenali menerusi single Nothing Compares 2 U pada 1990 itu disahkan ahli keluarganya, semalam.



Mengikut laporan CNN, punca dan tarikh kematian penyanyi yang cukup lantang memperjuangkan hak asasi manusia itu tidak didedahkan.

Namun, ada yang mengaitkan dengan kesihatan mentalnya sejak kematian anak lelakinya, Shane, 17, yang menamatkan riwayat hidup, tahun lalu.

“Dengan amat berat hati, kami ingin mengumumkan pemergian Sinead kesayangan kami.

“Keluarga dan teman rapatnya sangat terkesan dengan pemergiannya dan meminta diberikan ruang pada saat mencabar ini,” kata wakil keluarga penyanyi itu.



O’Connor yang memeluk Islam pada Oktober 2018, melalui episod kehidupan yang cukup berliku.

Kehidupan kanak-kanak sangat trauma. Ibu bapanya bercerai ketika berusia 8 tahun. Beliau mendakwa mendiang ibunya yang meninggal dunia dalam kemalangan pada 1985 sebagai pendera.

O’Connor memilih untuk tinggal bersama bapanya membesar sebagai remaja bermasalah.

Beliau pernah ditangkap mencuri dan dihantar ke pusat pemulihan Grianan Training Centre pada usia 15 tahun yang digambarkan sebagai penjara, di mana penghuninya menangis setiap hari.



Bagaimanapun, di pusat pemulihan itulah bakat nyanyiannya dikesan oleh salah seorang rahib yang kemudiannya menghadiahkan gitar dan turut menghantarnya mengikuti kelas muzik.

Melalui iklan dalam majalah muzik di Dublin, O’Connor bertemu dengan Colm Fary dan menubuhkan kumpulan Ton Ton Macoute, sekali gus namanya menjadi perhatian global.

Selepas menandatangani kontrak bersama Ensign Records, O’Connor muncul dengan album pertama, I Do Not Want What I Haven’t Got yang terjual hampir tujuh juta cetakan dan turut memuatkan lagu hit, Nothing Compares 2 U.

Ditulis oleh Prince, lagu Nothing Compares 2 U berjaya menembusi carta utama dunia, sekali gus dinobatkan sebagai single nombor satu dunia oleh Billboard Music Awards.



Selain itu majalah Rolling Stones menyenaraikan lagu tersebut di tempat ke-165 dalam senarai 500 lagu terbaik sepanjang zaman.

Beliau juga mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama yang memenangi video muzik terbaik di Anugerah Music Television Awards (MTV) pada 1990 menerusi video muzik Nothing Compares 2 U.

O’Connor dikenali sebagai penyanyi yang gemar memberontak sehingga pernah beberapa kali diboikot.

Tindakannya paling berani adalah mengoyakkan gambar paderi, Pop John Paul II dalam sebuah siaran secara langsung Saturday Night Live pada 1992 kerana berang dengan tindakan paderi berkenaan yang terbabit dengan penderaan seksual.



Akibatnya, O’Connor diboikot seumur hidup oleh syarikat penyiaran, NBC dan penduduk di Amerika Syarikat turut melakukan protes ke atasnya dengan membakar albumnya.

Sejak membuat kemunculan pada 1987 sehingga 2014, O’Connor sudah menghasilkan 10 album studio.

Disebabkan kehidupan zaman kanak-kanak yang penuh trauma, O’Connor berperang dengan masalah mental dan fizikal.

Beliau juga menghidap bipolar dan berjuang dengan masalah fibromygia.



Pada Januari 2022, anak lelakinya, Shane ditemui mati selepas dilaporkan hilang dua hari.

Kematian Shane amat memberi kesan kepadanya sehingga membuat keputusan membatalkan semua persembahannya sepanjang tahun lalu.

Beliau dipercayai mengalami kesedihan berpanjangan dan mengalami kemurungan.

Susulan kematian Shane, O’Connor menulis satu ciapan mengenai anaknya.

“Dia memutuskan untuk mengakhiri kesengsaraan dunia dan meminta agar tiada siapa mengikut jejak langkahnya,” tulisnya.

O’Connor turut memberi penghormatan kepada Shane dalam salah satu tweet terakhirnya, “Cinta dalam hidup yang menerangi jiwa. Kami satu jiwa dalam dua bahagian,” tulisnya. BH

Sinead O’Connor meninggal dunia

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Bekas suami Yasmin Hani tayang kekasih baru, lagi hot

Laporan polis terhadap Papagomo dibuat kerana memfitnah oleh Setpol Fahmi Fadzil

Farid Kamil bagi respon ‘pedas’ bila ada persoal Diana tinggalkan anak ketika pergi Festival Good Vibes

Sean Edward dituduh sebabkan kematian Nurin Najmina

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker