Uqasha terpaksa lawan ketakutan

Uqasha terpaksa lawan ketakutan

Tidak mudah membuang jauh tragedi berdarah dilalui sebulan lalu. Menyaksikan depan mata suami dipukul dengan cota besi oleh individu tidak dikenali sehingga cedera teruk di kepala pastinya memberi tekanan buat pelakon sensasi, Uqasha Senrose, 31.

Bukan sahaja Uqasha, malah suaminya yang juga pelakon Kamal Adli juga pastinya mengalami emosi dan trauma berpanjangan.



Meskipun sudah sebulan tragedi berdarah berlalu, namun ‘ketakutan’ dan ‘bayangan’ tetap menghantui pasangan selebriti popular ini.

Sudah tentu sukar buat Uqasha dan Kamal mengatasi ketakutan apabila berdepan orang ramai, tak mungkin mampu mengambil masa yang singkat, kesan emosinya pula pasti berlarutan tanpa diketahui bila akan berakhir.

Sungguhpun sukar mengatasi trauma, Uqasha tetap perlu meneruskan hidupnya, apatah lagi Kamal memerlukan sokongan kuat daripadanya.

Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata, dia cuba untuk kuat supaya suaminya dapat terus bangkit melawan ‘ketakutan’ yang membelenggu emosinya sejak tragedi berdarah itu.



“Alhamdulillah, keadaan Kamal semakin baik. Cuma apabila duduk di rumah, ada banyak kerja tergendala dan tertunggak, jadi Kamal agak tertekan. Dan kes mahkamah di Singapura juga masih berlanjutan.

“Saya juga tidak tahu bila semangat Kamal akan pulih. Ini kerana Kamal memang tak mahu keluar rumah, jadi dia lebih tertekan dan beremosi.

“Sebagai isteri, saya kena faham emosi dialami, saya juga layankan sahaja walaupun penat baru pulang kerja.

“Saya perlu sentiasa kuat untuk Kamal. Saya juga baru kali pertama keluar rumah berjumpa orang ramai, jika tidak hanya ke lokasi penggambaran drama Isteri Halal dan pulang,” katanya kepada BH Online.



Uqasha berkata, dia masih mempunyai perasaan takut berdepan orang ramai.

“Ya takut, keluar pun masih perasaan berdebar-debar sebab tragedi berdarah ini berlaku di depan mata. Bila orang lalu di sebelah, saya jadi takut.

“Jadi, saya sentiasa memerlukan teman. Sekarang saya pergi dan pulang kerja sahaja.

“Kamal di rumah pun ada yang menemani. Kami sudah mengupah seseorang untuk mengawasi rumah, jadi ada yang melakukan pemeriksaan di kawasan rumah selang dua hingga tiga jam,” katanya.



Uqasha berkata, tragedi itu memberikan tamparan bukan hanya buat Kamal, tetapi juga dirinya, namun cuba melihatnya dari sudut positif.

“Kamal trauma, tetapi tak tunjuk kepada saya. Sebab Kamal tak mahu tunjuk dirinya lemah. Saya tahulah bila Kamal tak gembira dan tertekan.

“Tetapi, Kamal tetap cuba menggembirakan saya apabila penat bekerja.

“Jujurnya, saya agak bergelut melalui semua ini, tetapi saya tidak mahu mengeluh. Ini kerana orang lain lebih teruk dugaannya.



“Mungkin inilah ujian untuk saya dan Allah mahu menguji bagaimana saya mahu menghadapinya,” katanya.

Tambah Uqasha, ini juga kifarah buat mereka, tetapi tetap bersyukur Kamal tidak apa-apa dan semakin sihat.

“Jadi, kalau Kamal emosi, saya akan cuba bersabar dan memahami keadaannya.

“Saya ketepikan ego saya. Sebab cuba bayangkan bagaimana tekanan yang perlu dilalui Kamal apabila terpaksa duduk di rumah. Dalam masa sama, kena tunggu arahan mahkamah di Singapura pula,” katanya.



Mengulas rawatan Kamal, Uqasha berkata, tidak mudah untuknya memujuk Kamal kerana suaminya enggan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Kamal sendiri cakap tidak mahu, dia lebih sanggup dipukul daripada berjumpa doktor.

“Suami takut jarum dan enggan ke hospital. Pada awal kecederaannya, apabila diminta untuk dijahit, Kamal tidak mahu dan hanya mahu menggunakan gam.

“Lukanya dalam, nak atau tidak, lukanya perlu dijahit juga. Sepatutnya Kamal perlu menjalani ujian imbasan X-Ray dan MRI sebab tidak tahu kesan masa panjang, tetapi dia tidak mahu.

“Saya pun tidak mahu terlalu memaksa dan memberikan tekanan padanya,” katanya.

Terdahulu, Kamal mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, bawah mata dan badan selepas diserang seorang lelaki berusia 34 tahun menggunakan cota besi.

Kamal dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan menjalani pembedahan. Suspek yang ditahan atas tuduhan memukul tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Justeru, Uqasha berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini secara sederhana bersama keluarga terdekat, memandangkan Kamal belum pulih sepenuhnya.

“Tidak, saya hanya akan beraya dengan keluarga saya dan adik-beradik sahaja memandangkan tahun ini adalah giliran beraya dengan keluarga saya,” katanya.

Terdahulu, Uqasha tampil dengan filem Sumpahan Jerunei terbitan Produksi Seni 2020 Sdn Bhd bersama Bront Palarae, Daiyan Trisha, Amerul Affendi, Ruminah Sidek dan ramai lagi.

Mendedahkan pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama Kamal.

Uqasha dan Kamal mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021. BH

Uqasha terpaksa lawan ketakutan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Puteri Sarah tunjuk bukti mesej Syamsul

Kalau saya dedah video tak senonoh tak nusyuz ke – Puteri Sarah

Sarah tukar perjanjian, minta amaun melampau – Syamsul

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker