Allah benci manusia jadi makhluk perosak

Kemakmuran bumi ini bermula dengan sikap amanah dan tanggungjawab kita bersama.

oleh Dr Zuraimy Ali

Alam ciptaan Tuhan merupakan amanah untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Sebahagian alam ini memberikan banyak kebaikan buat manusia. Di dalam al-Quran, Allah SWT banyak menyebut tentang kejadian sungai, bukit bukau, gunung ganang, lautan dan daratan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Semua ini hakikatnya merupakan sebahagian kurniaan nikmat Tuhan kepada hamba-Nya. Antara ayat al-Quran yang menyebut tentang kurniaan alam bagi manusia ialah ayat yang bermaksud: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya
ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

Namun begitu, kejadian alam ciptaan Tuhan yang disediakan buat manusia di bumi ini sering diabaikan oleh manusia. Bahkan munculnya kemusnahan alam berpunca dari tangan-tangan manusia. Ini bersesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Rum, ayat 41)



Allah SWT yang Maha Pencipta alam ini telah memerintahkan manusia untuk memakmurkan bumi ini dengan baik dan rapi sebagaimana yang telah diamanahkan oleh Allah SWT terhadap hamba-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya.”
(Surah Hud, ayat 61)

Jika diteliti kepada ayat al-Quran begitu jelas dan banyaknya ayat-ayat yang melarang manusia daripada melakukan kerosakan di atas muka bumi Allah. Antaranya Allah SWT berfirman bermaksud: “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.” (Surah al-Baqarah, ayat 60)

Allah SWT juga menegaskan kepada manusia bahawa Dia sangat benci terhadap manusia yang menjadi makhluk perosak di atas bumi milik-Nya sebagaimana dijelaskan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al- Maaidah, ayat 64)

Kejadian banjir besar yang melanda negara menyebabkan banyak kemusnahan harta benda dan nyawa berpunca daripada kerakusan yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Sebahagian alam ciptaan Tuhan seperti bukit bukau dan tumbuh-tumbuhan telah dimusnahkan dan dibiarkan tanpa apa-apa langkah perlindungan yang sepatutnya diambil tindakan sewajarnya. Penguatkuasaan yang lemah terhadap tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab menjadikan mereka kebal dan terlepas daripada tindakan undang-undang.



Justeru, marilah kita bersama-sama membanteras kegiatantidak beramanah terhadap alam ciptaan Tuhan kerana sesungguhnya setiap kita tidak boleh membiarkan orang-orang yang sombong ini dengan rakusnya menghancurkan bumi tempat kediaman buat kita semua. Dan kepada golongan sombong dan angkuh serta tidak beramanah dalam memelihara alam sekitar ingatlah bahawa perbuatan tersebut dilarang di dalam al-Quran sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 18)

Marilah kita semua rakyat Malaysia bangun untuk bersama membina kebahagian dalam kehidupan kita. Perbuatan merosakkan alam sekitar ini sememangnya akan memberikan kesan buruk terhadap harta dan ketenteraman hidup kita. Musibah ini boleh dielakkan jika setiap kita mengambil peranan dan tanggungjawab dalam memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara baik. Kemakmuran bumi ini bermula dengan sikap amanah dan tanggungjawab kita bersama. HM

Penulis Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis

Allah benci manusia jadi makhluk perosak



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Saya tak peduli kalau dia hamil – Puteri Sarah



Janda dibunuh, dicincang oleh skandal

Punca nafsu seks wanita berkurangan (Bahagian 2)



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker