Dewan Rakyat kecoh isu titah Agong disediakan kerajaan

Dewan Rakyat kecoh isu titah Agong disediakan kerajaan

Persidangan Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mendakwa, titah perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, disediakan kerajaan.

Tuan Ibrahim ketika sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja itu, mendakwa titah Yang di-Pertuan Agong disediakan kerajaan dan dibawa sebelum diluluskan dalam Kabinet, itu tidak memasukkan mengenai nilai keadilan sebagai prinsip utama Malaysia Madani.



“Sayangnya titah Yang di-Pertuan Agong disediakan pihak kerajaan, kalau lihat para ke-enam yang mana inisiatif negara Madani rangkumi aspek kemampanan, kesejahteraan, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.

“Tidak ditulis nilai keadilan sebagai teras, sedangkan nilai keadilan perlu dibawa dalam ucapan baginda dalam Parlimen dan bukan hanya tersedia dalam dokumen luar Parlimen,” katanya.

Kata-kata Tuan Ibrahim itu menarik perhatian RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bangun mencelah dengan membangkitkan mengenai Peraturan Dewan 36 (6) bahawa ucapan Tuan Ibrahim itu membuat sangkaan jahat bahawa titah Yang di-Pertuan Agong disediakan kerajaan.

“Saya mohon kenyataan itu ditarik balik,” katanya.



Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS, mempertahankan ucapannya itu dengan menjelaskan beliau tahu prosedur kerana pernah menganggotai Kabinet.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Rayer kemudiannya mempersoalkan bagaimana Tuan Ibrahim tahu Yang di-Pertuan Agong menerima ucapan disediakan Kabinet kerana ada kemungkinan baginda memindanya, sekali gus mendesak bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu tidak membuat kenyataan menuduh.

Tuan Ibrahim kemudiannya menjelaskan tiada keperluan menarik semula ucapannya itu berikutan semua orang faham mengenai prosedur terbabit.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) turut bangkit mencelah dengan menekankan sebaik sahaja Yang di-Pertuan Agong menerima ucapan disediakan Kabinet itu, sekali gus bermaksud ia adalah titah baginda dan bukannya titah Kabinet.



Kekecohan seketika itu akhirnya ditenangkan apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng, yang meminta Tuan Ibrahim meneruskan perbahasannya.

Sementara itu, pada sesi petang persidangan Dewan Rakyat, Rayer kembali membangkitkan mengenai peraturan dewan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, dengan mendakwa Tuan Ibrahim menghina majlis dan Yang di-Pertuan Agong menerusi dakwaannya itu.

“Kalau kenyataan itu dibuat PKR atau DAP mesti melenting YB (Yang Berhormat) di sebelah sana (pembangkang) tetapi apabila mereka mengeluarkan kenyataan menghina majlis dan Tuanku, saya minta sekurang-kurangnya Kubang Kerian meminta maaf,” katanya.

Johari kemudiannya menyatakan beliau akan merujuk kepada penyata rasmi (hansard) terlebih dahulu dan akan membuat keputusan mengenainya esok. BH



Dewan Rakyat kecoh isu titah Agong disediakan kerajaan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Agong tepuk dahi kena ‘prank’ [VIDEO]



Nasi lemak janda muda tepi jalan laris

Filem Coast Guard sasar kutip RM7 juta lagi



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker