3 termasuk calon PRU-15 dituduh kemuka tuntutan palsu

3 termasuk calon PRU-15 dituduh kemuka tuntutan palsu

Tiga individu termasuk calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 50 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM2.4 juta.

Tertuduh pertama, Raymond Sim, 35, yang juga pemilik sebuah syarikat dituduh atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM79,500.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada tahun 2021 memberikan suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya iaitu Perkeso dengan mengemukakan pernyataan gaji palsu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Aliff Saharuzaman memohon wang jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melaporkan di pejabat SPRM yang berdekatan.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah turut bersetuju dengan dua syarat yang ditetapkan pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 28 Februari ini.

Manakala di kamar sama Raymond turut didakwa dengan empat pertuduhan sama membabitkan tuntutan berjumlah RM73,700.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati cuba memperdaya prinsipal iaitu Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso untuk mempercayai dokumen yang dikemukakan.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM yang berdekatan.

Sementara itu, di kamar berasingan, seorang pemilik syarikat berdepan 31 pertuduhan membabitkan nilai RM1.87 juta.

Tertuduh, Lee Hong Rong, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai pemilik sebuah syarikat memberikan suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu, bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya.

Ia diberi kepada ejen Perkeso dengan niat hendak memperdayakan untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi pernyataan bantuan mobiliti dan gaji tulen sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut tidak menerima bayaran bantuan mobiliti dan gaji sepenuhnya.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso di sini, pada tahun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Chi Chau.

Mahkamah kemudian membenarkan dia diikat jamin sebanyak sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan passport serta melaporkan diri di pejabat SPRM yang berdekatan, setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 2 Mac depan untuk pengurusan kes.

Di kamar sama, seorang lagi pemilik syarikat, Mohd Ridzuan Abdullah, 55, tidak mengaku bersalah atas 12 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu membabitkan tuntutan Program Penjana Perkeso bernilai RM378,000.

Tertuduh yang juga calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Hulu Langat pada PRU15 didakwa mengemukakan dokumen palsu berkaitan gaji sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen berkenaan tidak menerimanya.

Tertuduh yang diwakili peguam, Haniff Khatri itu dibenarkan diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport serta melaporkan diri di pejabat SPRM yang berdekatan, setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 3 Mac depan untuk pengurusan kes. HM

3 termasuk calon PRU-15 dituduh kemuka tuntutan palsu

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Isteri kedua baru hamil 6 bulan, suami nikah isteri ketiga [VIDEO]

Pelanggan mengamuk kerana saiz espreso (Video)

Kecil-kecil jadi pembuli (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker