2 murid SK Bangsar positif Covid-19, sekolah masih buka

Dua murid perempuan SK Bangsar disahkan positif Covid-19, namun masih belum ada pengumuman mengenai penutupan sekolah itu.

Berita Harian melaporkan murid tahun 4 dan 5 itu dipercayai dijangkiti daripada ahli keluarga mereka, selepas pulang menghadiri kenduri baru-baru ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bangsar Mohd Yazid Mohd Yasin berkata, pihak sekolah dimaklumkan perkara itu oleh penjaga dan Kementerian Kesihatan (KKM) 10.30 pagi tadi.

Katanya, susulan itu pihak sekolah memaklumkan kepada PIBG dan petugas KKM datang melaksanakan ujian saringan terhadap murid dan guru membabitkan 2 kelas tahun berkenaan.



Beliau berkata, bagaimanapun tiada arahan penutupan sekolah buat masa ini, namun sesi persekolahan petang hari ini ditangguhkan.

“Petugas KKM menjalankan ‘swab test’ bermula 2 petang tadi kepada kira-kira 80 murid dari 2 kelas tahun 4 dan 5, serta 26 guru yang dikenal pasti sebagai kontak rapat 2 murid yang positif Covid-19 itu.

“Petugas KKM juga dijangka menjalankan sanitasi di kelas dan lokasi berkaitan. Namun, pihak sekolah memang melakukan sanitasi setiap hari.

“Buat masa ini, tiada arahan penutupan sekolah, dan pihak pentadbir juga tiada kuasa untuk menutup sekolah, sebaliknya perlu tunggu arahan daripada pejabat pendidikan daerah (PPD) dan Kementerian Pendidikan,” katanya.



Yazid berkata, majoriti ibu bapa khususnya anak mereka menjadi kontak rapat kes positif itu, bimbang jika sesi persekolahan terus berjalan seperti biasa.

“PIBG berpandangan, PPD dan kementerian wajar menangguhkan sementara sesi persekolahan antara seminggu atau 2 minggu, sementara menunggu keputusan ujian murid yang menjadi kontak rapat,” katanya.

Semalam, seorang guru dari SMK Taman Sea diuji positif Covid-19. Pelajar dan kakitangan sekolah itu diperintahkan menjalani kuarantin.

Manakala SMK Mutiara di Labuan diarah tutup sementara untuk proses sanitasi selepas seorang pelajarnya disahkan positif Covid-19 hari ini. FMT



Mayat lelaki ditemui mati depan kedai serbaneka Bangsar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker