Ibu tujuh anak mati dipijak gajah liar

Ibu tujuh anak mati dipijak gajah liar

LIPIS – Suasana sepi di Kampung Simoi Baru, Pos Betau dekat sini awal pagi semalam bertukar kecoh apabila kawanan gajah liar yang menceroboh kampung itu tiba-tiba mengamuk dan menye­rang sebuah rumah penduduk.

Serangan dinihari kira-kira pukul 4 pagi itu menyebabkan seorang wanita Orang Asli, Wak Angkat Yok Tong, 39, terbunuh akibat kecederaan parah pada anggota badan selepas dipijak-pijak oleh binatang liar tersebut.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian seorang wanita di kampung ber­kenaan akibat serangan gajah pada pukul 4.40 pagi semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama lapan ahli keluarga lain sedang tidur di dalam rumah kayu dinding buluh yang dikelilingi pokok pisang dan terletak berhampiran kawasan kebun getah.

“Ketika menceroboh kebun pisang di kawasan itu, kawanan gajah liar dipercayai telah menarik din­ding rumah keluarga mangsa dan menyebabkan kediaman itu bergo­yang.

“Akibat tarikan serta goyangan yang kuat, kesemua sembilan ahli keluarga tersebut tersedar daripada tidur dan masing-ma­sing kemudiannya melarikan diri dalam keadaan gelap,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Azli memberitahu, selepas ahli keluarga itu berkumpul semula, mereka menyedari mangsa sudah tiada dan kemudian berusaha mencari di persekitaran kawasan tersebut.

Katanya, mayat Wak Angkat akhirnya ditemui di dalam kawasan pokok pisang berhampiran rumah mereka.

“Sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Koyan yang bergegas ke tempat kejadian mendapati, mangsa meninggal dunia akibat cedera parah selepas dipijak oleh gajah liar.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk bedah siasat,” ujarnya.

Sementara itu, ibu saudara yang juga jiran mangsa, Norfini Ajik, 50, berkata, selepas berbual bersama keluarganya, dia masuk tidur pada pukul 3.30 pagi semalam dan terbangun pada pukul 4 pagi selepas terdengar jeritan kuat dari rumah mangsa.

“Saya terkejut mendengar jeritan dari rumah mangsa yang jaraknya kira-kira 50 meter dan mendapati beberapa ekor gajah liar berada berdekatan rumah mangsa.

“Saya mendengar ahli keluarga mangsa meminta supaya lari menyelamatkan diri dalam keada­an yang masih gelap.

“Saya sekeluarga pun juga keluar untuk menyelamatkan diri dan lari ke kawasan yang agak jauh dari tempat kejadian,” ujar­nya.

Norfini, berkata, apabila keada­an reda dan kawanan gajah liar meninggalkan kawasan itu, mereka berkumpul berdekatan rumah mangsa dan mendapati anak saudaranya, Wak Angkat tiada bersama mereka.

Ujarnya, dengan pertolongan jiran sekampung, mereka mencari Wak Angkat dan terkejut melihat keadaan mangsa yang cedera parah dan sudah tidak bernyawa lagi di kebun pisang berdekatan rumah.

Tambahnya, anak saudaranya mempunyai tiga anak lelaki dan empat perempuan tinggal di situ dan turut ditemani oleh adik ipar­nya ketika kejadian tersebut.

“Saya sangat sedih dengan kehilangan anak saudara saya yang cukup baik hati dan suka membantu ketika susah dan senang,” ujarnya.

Menurutnya, kejadian pencerobohan gajah liar ke kampung tersebut pernah dialami beberapa kali, tetapi tidaklah sampai mengancam nyawa se­perti kejadian awal pagi semalam.

Justeru, penduduk mahu pihak berkuasa mengambil tindakan bagi menghalang kemasukan gajah liar di kampung tersebut. K Online

Ibu tujuh anak mati dipijak gajah liar


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Anwar ‘tegur’ Syed Mokhtar, Bernas – Pesawah akan terima bayaran RM60j

Anwar arah siasat perbelanjaan RM600 bilion semasa era PN

Jangan berani sentuh Messi – Tyson

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker