Cukup-cukuplah, Dr. Maszlee

MENTERI Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hari ini memberi jaminan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dimasukkan dalam silibus pembelajaran Sejarah.

Sebelum ini, beliau juga telah menerima kecaman teruk daripada orang ramai kerana siri kenyataannya tentang kasut, stoking dan kelas berenang di hotel. Kadang-kadang, penulis lihat beliau seperti meminta-minta untuk dikecam pula.

Sebenarnya banyak lagi isu pendidikan yang perlu diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan, lebih-lebih lagi tentang mata pelajaran Sejarah.

Adakah menteri sudah memikirkan kaedah terbaik untuk membina pemahaman generasi muda tentang asas-asas kenegaraan seperti Perlembagaan Persekutuan, kontrak sosial dan Rukun Negara yang kini semakin dilupakan? Ribut tentang perpaduan kaum yang melanda kini, bagaimana mahu diredakan melalui pendidikan Sejarah?



Bukanlah penulis mahu menolak usaha memupuk integriti melalui pendidikan, namun usaha yang dicadangkan itu terlalu jelas motif politiknya, sedangkan banyak sahaja lagi skandal rasuah dan integriti besar-besaran yang tercatat dalam lipatan sejarah negara termasuk yang melibatkan beberapa pemimpin kerajaan sekarang.

Negara-negara lain juga ada banyak skandal rasuah berskala mega. Contohnya penyelewengan oleh Suharto semasa memerintah Indonesia, kekayaan melampau bekas pemimpin Filipina, Ferdinand Marcos dan isterinya, Imelda Marcos serta salah laku pemimpin Nigeria, Sani Abacha sehingga diikitiraf antara pemimpin paling korup dalam sejarah.

Cuma bezanya, kesalahan mereka disiasat, diambil tindakan dan pengajaran kemudian tidak lagi dijadikan wirid wajib kerajaan yang menggantikan rejim korup mereka. Bak kata anak muda sekarang, pengganti mereka ‘move on’.

Ada baiknya jika Dr. Maszlee fokus untuk menyelesaikan masalah-masalah pendidikan yang semakin membebankan pemegang taruh utama dalam sektor itu, iaitu guru. Setakat ini berkenaan isu guru duka lara, beliau hanya sekadar mengangkat guru yang bertahun menabur bakti di pedalaman Sabah dan Sarawak sebagai ‘adiwira’.



Benar mereka adiwira, namun apa penyelesaian isu ini? Satu demi satu luahan guru yang terpaksa berjauhan dengan keluarga bertahun-tahun penulis baca, patutkah isu 1MDB yang perlu diberi keutamaan? Ribuan graduan pendidikan yang masih belum mendapat penempatan, apa pula nasib mereka?

Buat Dr. Maszlee, berhati-hatilah membuat kenyataan. Apatah lagi, kes 1MDB masih lagi dalam perbicaraan dan belum ada hukuman yang dijatuhkan. Janganlah membuat kenyataan pramatang yang boleh menjatuhkan kredibiliti anda sebagai menteri.

Atau selepas ini Dr. Maszlee akan menyalahkan media lagi kerana melaporkan perkara ini?- UTUSAN ONLINE



Related Articles

One Comment

  1. Mungkin Dr. Mazlee dah rasa tertekan menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan. Mungkin beliau tidak pernah menyangka tanggungjawab Menteri Pendidikan ini sangat luas.
    Atau adakah Dr. Mazlee dengan sengaja menunjukkan sedikit kebodohan beliau untuk memberi hint kepada big boss bahawa beliau sudah tak sanggup lagi untuk berjuang didalam portfolio ini.
    Wallahualam.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker