Orang pintar kejar akhirat

ADDIN

Orang pintar kejar akhirat

Oleh Muhammad Saufi Hassan

SIJJIN atau illiyin? Di manakah tempat kitab amalan kita tatkala kita dijemput oleh Allah SWT kelak.

Bagi kitab amalan manusia yang soleh serta mendapat pengakhiran husnul khotimah, kitab amalan mereka akan ditempatkan di Illiyin, manakala kitab amalan manusia yang berakhir dengan suul khotimah, kitab mereka akan ditempatkan di Sijjin secara kaedahnya.

Mungkin ramai yang sudah mengetahui bahawa Illiyin serta Sijjin ini adalah tempat ‘kitab suratan amalan’ akan disimpan sementara menanti Hari Pembalasan iaitu kiamat serta Mahsyar dibentangkan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan Hari Akhirat) Sesungguhnya ‘kitab suratan amalan’ orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam ‘Sijjin’. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui; apa dia ‘Sijjin’ itu, ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata (yang menghimpunkan amalan orang-orang berdosa).” (Surah al-Mutaffifin ayat 7 hingga 9)

Bagi Illiyin pula, Allah SWT dalam surah sama berfirman dengan maksud: “Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya ‘kitab suratan amalan’ orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam ‘Illiyin’. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia ‘Illiyin’ itu, ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata, yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya.” (Surah al-Mutaffifiin ayat 18 hingga 21)

Pastinya, semua orang mahukan kitab amalan mereka disimpan di Illiyin kerana ia adalah permulaan yang baik dan pastinya, urusan akhirat seseorang hamba itu akan lebih mudah walaupun ketika dibangkitkan di Mahsyar untuk berdepan dengan penghakiman Allah SWT Yang Maha Adil.

Biarpun kehidupan seseorang manusia di dunia dilimpahi dengan wang ringgit, harta, kemasyhuran dan darjat sosial yang tinggi, namun individu itu tetap tidak boleh membeli tarikh kematian serta lokasi kematiannya kerana sesungguhnya, Allah SWT yang berhak memilih dan setiap manusia akan mati dengan kaedah cara kehidupannya.

Kehidupan di dunia ini hanya bersifat sementara dan ia adalah pentas pengujian sama ada kita ‘lulus dengan cemerlang’ ataupun tersungkur dengan mainan dunia.

Dunia ini hanya persinggahan, kehidupan yang kekal abadi adalah akhirat dan di alam itu kita semua akan diperhitungkan segala amalan kebajikan sebelum pergi ke ‘dua negara’ iaitu syurga (Alhamdulillah) atau neraka (Nauzubillah).

Maka benarlah kata-kata ulama bahawa mereka yang meninggalkan dunia dan memburu akhirat adalah orang yang pintar manakala orang yang memburu dunia dan meninggalkan akhirat adalah orang yang bodoh.

Orang yang mengejar dunia, pasti dunia dan akhirat akan meninggalkannya manakala jika orang itu mengejar akhirat, pastinya dunia dan akhirat akan mengikutinya.

Segala jawatan, wang ringgit, pangkat, penghormatan, kekayaan, kemewahan serta segalanya yang ada di dunia ini akan ditinggalkan termasuklah keluarga serta anak-anak.

Ia yang kekal dengan seorang hamba itu adalah amalannya sama ada kebajikan atau sebaliknya.

Allah SWT berfirman dengan maksud: “…Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakan esok (sama ada baik atau jahat) dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi Pengetahuan-Nya.” (Surah Luqman ayat 34)

Terdapat sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang menyifatkan manusia mengingati kematian sebagai manusia cerdik. Daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus RA daripada Nabi SAW bersabda bermaksud: “Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang lemah (imannya) adalah mereka yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).” (Hadis riwayat at-Tirmizi, No 2459)

Mereka yang menyedari betapa dekatnya jarak antara dirinya dengan kematian, akal dan mindanya akan segera menyuruh untuk bersegera berbuat baik, memperbanyakkan zikir dan memberikan manfaat dalam kehidupan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perbanyaklah mengingat sesuatu yang melenyapkan semua kenikmatan iaitu kematian.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Bagaimanapun, mengingati kematian bukanlah melemahkan semangat untuk hidup, bahkan menjadikan kita berusaha menjalani kehidupan sebagai Muslim yang lebih baik.

Setiap Muslim disarankan sentiasa berdoa mendapat kesudahan yang baik dalam kehidupan. Keadaan kematian yang husnul khatimah atau su’ul khatimah menjadi nilaian sebenar di sisi Allah SWT pada saat akhir amalan dilakukan dalam kehidupan.

Kita seharusnya berdoa mendapat husnul khatimah bertepatan dengan maksud hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami dan lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia serta siksaan hidup di akhirat.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban, No 949)

Oleh itu, jelas sekali kehidupan di dunia ini hanya pinjaman, setiap perbuatan akan dihitung, setiap kekayaan itu sebenarnya amanah daripada Allah SWT dan semuanya akan kembali dinilai sama ada cara kehidupan kita sepanjang dipinjamkan hayat adalah mendapat keredaan Allah atau sebaliknya.

Itulah hakikat kematian yang akan dirasai setiap makhluk yang bernyawa. Tarikh, masa, lokasi dan cara kematian seseorang itu kekal sebagai rahsia Allah SWT dan sesungguhnya, kita sebagai hamba wajar berdoa agar Allah SWT mengurniakan kita pengakhiran yang baik. HM

Orang pintar kejar akhirat


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nelayan dakwa dihina dengan perkataan ‘Melayu bodoh, otak udang’

Kembar Najib dan Mahathir

Tayang gambar penyanyi K-Pop depan Kaabah (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker