BN sedia timbang bekerjasama parti lain selepas PRU-15

#PRU15

BN sedia timbang bekerjasama parti lain selepas PRU-15

Barisan Nasional (BN) hanya akan memutuskan kerjasama dengan parti lain untuk membentuk kerajaan, jika keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memerlukan gabungan parti lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, BN akan memastikan sasaran awal memenangi 121 kerusi Parlimen dapat direalisasikan terlebih dahulu.



Beliau yang ditanya wartawan sama ada mahu kerjasama semula dengan Pas jika sasaran itu gagal diperolehi, menjelaskan terlalu awal untuk membuat andaian kerjasama dengan parti di luar BN.

“Kita tunggu dulu keputusan PRU-15, selepas itu kita akan putuskan. Kita pastikan lepas sasaran awal kita dulu (121 menang). Kalau buat andaian terlalu awal (kerjasama dengan pihak ketiga) susah juga. Kita tak tahu apa akan berlaku dalam pilihan raya.

“Selepas PRU (hari mengundi) nanti keputusan sudah ada, Insya-Allah kita akan buat apa sahaja keputusan, demi kepentingan negara dan yang pentingnya kita nakkan sebuah kerajaan yang stabil. Jadi, selepas itu kita putuskanlah,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan penutup Konvensyen Kontraktor Melayu Malaysia 3.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kali Yang Ke-43, di sini, hari ini.



Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno menjelaskan proses pembahagian kerusi dalam kalangan empat komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Ditanya mengenai peluang parti mesra BN mendapat ruang untuk bertanding, katanya, BN mempertimbang semua sekali dan akan mengadakan mesyuarat, keputusan akan dibuat secara musyawarah seperti biasa dilakukan sebelum pilihan raya.

“Dulu lagi susah, komponen BN banyak. Sekarang komponen hanya ada empat, UMNO, MCA, MIC dan PBRS daripada Sabah. Jadi, lebih mudah untuk kita bincang.

“Sekarang dalam proses perbincangan. Insya-Allah dalam waktu terdekat pasti kita akan putuskan sebab selepas setuju pembahagian kerusi kita akan nilai dari segi calon pula. Untuk hari penamaan calon dah tak lama, jadi perlu disegerakan,” katanya.



Beliau berkata, senarai calon sudah diterima dari seluruh negara dan Top 5 UMNO akan membuat keputusan akhir calon parti itu yang akan bertanding dalam PRU-15 dengan keutamaan calon berwibawa serta diterima rakyat.

Ismail Sabri turut mengulangi kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini kriteria calon ialah WALI yang membawa maksud ‘winnability’ (boleh menang), ‘acceptibility’ (kebolehterimaan) dan ‘likeability’ (disenangi) dengan 70 peratus muka baharu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini akan dibentangkan semula untuk kelulusan selepas PRU-15.

“Sebab baru-baru ini hanya dibentang, belum diluluskan. Jadi, kita perlu bentang semula, perlu diluluskan dan kita akan laksanakan.



“Bajet 2023 yang kita bentang baru-baru ini sudah ada dari segi kewangan, sudah disediakan. Duit sudah ada, cuma tunggu kelulusan dan pelaksanaan sahajalah selepas itu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sokongan daripada UMNO bahagian terhadapnya sebagai Perdana Menteri menunjukkan sokongan akar umbi kepada keputusan sama dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno dan pendirian Presiden UMNO.

“Arahan daripada siapa? Ini adalah keputusan bahagian. Setiap usul penangguhan adalah keputusan bahagian. Ini keputusan bahagian. Bahagian bebas membuat sebarang usul.

“Saya berterima kasih kepada bahagian. Saya difahamkan 152 bahagian membuat usul menyokong saya sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU-15,” katanya. BH



BN sedia timbang bekerjasama parti lain selepas PRU-15


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Zahid Hamidi Sindir Hadi Awang “Jangan ‘Main-Main’ Dengan Durian”



Ismail Sabri adalah calon PM muktamad dari UMNO – Presiden UMNO

Nurul Nazihah yang retung dalam kemalangan baru pulang umrah seminggu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker