‘Kalau bubar sekarang, saya yakin kita boleh menang’ – Pak Long Mail

PUTRAJAYA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan pembentukan jentera pilihan raya di Parlimen Bera sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).Beliau percaya pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa dan parti UMNO dan Barisan Nasional bersedia untuk menghadapinya.

“Ya, saya sendiri balik ke kawasan saya di Bera, Pahang pada Sabtu lepas dan saya panggil mesyuarat bahagian untuk membincangkan pembentukan jentera pilihan raya,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Ahad baru-baru ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) diyakini boleh menang dalam PRU15 sekiranya keputusan untuk membubarkan Parlimen dibuat dalam waktu terdekat.

“Secara keseluruhannya kerajaan hari ini bukanlah sebuah kerajaan yang kuat. Sebab itu, bagi saya jalan terbaik adalah memulangkan semula kepada rakyat untuk membuat keputusan.

“Bagi saya, kalau kerajaan membubarkan Parlimen hari ini, saya yakin kita boleh menang dalam pilihan raya,” jelasnya yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan.

Pada ketika ini, katanya, pembangkang dilihat tidak mahu menjadikan negara ini stabil ketika Malaysia berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan tekanan ekonomi.

“Baru-baru ini saya pergi ke sebuah hotel untuk makan malam. Waktu itu jam 10 malam dan restoran itu sudah tutup.

“Saya tanya, saya beri kebenaran buka sampai pukul 12 tengah malam, kenapa tutup? Dia kata tak ada makna buka kalau tiada orang datang.

“Ini menunjukkan untuk pulihkan perniagaan akan memakan masa. Sepatutnya inilah masanya kita bekerjasama tanpa mengira parti kerana melibatkan kepentingan rakyat tetapi pembangkang lebih mementingkan politik,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker