Barah andai terlalu ghairah memburu takhta

Barah andai terlalu ghairah memburu takhta

Kedudukan dan pangkat menjadi suatu perkara rebutan bagi manusia khususnya membabitkan umat akhir zaman. Sering kali kita mendengar perbalahan dan perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin sehingga ramai yang terkesan daripada hal terbabit.

Situasi ini tidak lari daripada permasalahan nafsu yang menyelubungi jiwa manusia sehingga menjadikan kedudukan dan pangkat sebagai perkara yang perlu didahulukan. Fitnah kekuasaan adalah fitnah terdahsyat terhadap umat Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda dari Thauban r.a bersabda maksudnya: “Sesungguhnya aku hanya khuatir (takut) atas umatku ini para pemimpin yang menyesatkan.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)



Dalam hadis lain, dari Abu Zar r.a, dia berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya: “Ketika aku Bersama Nabi SAW pada satu hari kerumahnya, aku mendengar baginda berkata: Bukan Dajjal yang lebih aku khuatirkan terhadap umatku daripada Dajjal” Sebelum baginda hendak masuk, aku bertanya: “apakah yang lebih engkau khuwatirkan atas umatmu daripada Dajjal itu? Baginda menjawab: “Para pemimpin yang menyesatkan orang lain.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Kedua-dua hadis ini memberi isyarat mengenai satu bentuk fitnah yang akan terus-menerus melanda umat Nabi SAW iaitu fitnah kekuasaan. Fitnah yang berlaku ini akan terus menyebabkan umat Islam terjerumus dalam lembah keinginan yang membuak-buak kepada pangkat, jawatan yang pasti akan menghasilkan sesuatu seperti harta.

Kerisauan baginda mengenai fitnah kekuasaan ini melebihi dari fitnah Dajjal. Ini jelas menunjukkan, fitnah Dajjal adalah lebih jelas berdasarkan pemahaman dan ilmu yang berkembang serta tempohnya adalah lebih pendek berbanding fitnah kekuasaan yang meliputi zaman.

Di antara penyebab manusia tergelincir ke lembah fitnah kuasa adalah mereka yang ingin berdampingan dengan penguasa. Dari Ibnu Abbas r.a, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Barang siapa yang tinggal di desa akan menjadi kasar perangainya, barang siapa yang mengejar binatang buruan maka dia akan lalai, Barang siapa yang datang kepada penguasa maka dia akan terfitnah.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)



Dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya: “Barang siapa yang tetap menghampiri penguasa maka di akan terfitnah, tidaklah seseorang itu bertambah dekat dengan penguasa kecuali dia bertambah jauh dari Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Gambaran utama dalam hadis ini menjelaskan keadaan manusia apabila menghampiri penguasa, menjadi orang dekat kepada mereka atau menjadi orang yang mengetuk pintu pejabat atau rumah mereka adalah sumber kepada berlaku fitnah. Apabila seseorang menghampiri penguasa, perkara seperti membodek, bermanis muka, ‘menjilat’ mereka akan menjadi barah yang berbahaya kepada Islam. Namun sekiranya dia tidak menghiraukan penguasa, maka kesannya hanya di dunia.

Perbezaan taraf kehidupan manusia melalui harta dan kebijaksanaan kurniaan Allah SWT menyebabkan manusia tergelincir dalam fitnah takhta dan kedudukan yang membinasakan.

Fitnah takhta dan kedudukan ini antara ujian yang besar menimpa umat Nabi SAW terutama apabila manusia setiap hari dan masa mengejar pangkat dan kedudukan lebih tinggi bertujuan memperoleh pendapatan (gaji atau elaun) yang lebih besar.



Perlantikan yang dibuat untuk sesuatu jawatan sama ada dalam proses yang benar atau tidak, akan memberi kegembiraan yang besar kepada seseorang yang dilantik untuk mengetuai sesebuah organisasi. Daripada lantikan peringkat bawahan sehingga menjadi orang atasan, pangkat dan kedudukan ini menjadi ujian besar kepada mereka, sama ada mereka dapat menjalankan tanggungjawab terbabit atau terleka dengan pangkat yang diperoleh.

Kebiasaan yang berlaku, di awal permulaan lantikan, seseorang sangat bersemangat untuk mengubah dan berikrar akan sedaya upaya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Namun amanah ini tidak sekadar jawatan dunia semata-mata, bahkan akan dipersoal pada hari kiamat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepemimpinannnya. Seorang kepala negara adalah pemimpin atas rakyatnya dan akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin atas anggota keluarganya dan akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin atas rumah tangga dan anak-anaknya dan akan ditanya perihal tanggungjawabnya. Seorang pembantu rumah tangga adalah bertugas memelihara barang milik majikannya dan akan ditanya atas pertanggung jawabannya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya atas pertanggungjawabannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW kepada Abdul Rahman Ibnu Samurah: “Janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



Iktibar daripada hadis itu dapat kita lihat pada hari ini apabila orang yang ghairah memburu jawatan dan kedudukan belum tentu dapat melaksanakan tugas dengan baik berikutan mendapat bantahan dan tentangan daripada kakitangan.

Sebaliknya, jika jawatan diterima berdasarkan kelayakan, dengan izin Allah, bebanan tanggungjawab dipikul seberat mana pun akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokong di belakang ketua atau pemimpin dilantik sebulat suara dan dipersetujui.

Hal itu ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Malaysia melalui ulang tahun kemerdekaan yang ke-65. Kemerdekaan yang dikecapi ini seharusnya dikekalkan dan dalam perkara tertentu perlu diperbetulkan khsususnya membabitkan hal ehwal perlantikan, pemilikan kepada jawatan tertentu dalam semua perkara. Situasi perebutan kekuasaan dan pangkat ini semakin menjadi barah yang mulai melanda dalam kalangan masyarakat kita disebabkan terlalu teruja mengejar pangkat dan kedudukan sama ada dalam kerajaan, negeri hatta sehingga pemilihan taman dan masjid surau.



Justeru itu, takhta dan kedudukan ini akan menjadi fitnah sekiranya seseorang itu berkeinginan kepada jawatan disebabkan kepentingan peribadi dan dorongan hawa nafsu yang tinggi.

Buah pulasan buah rambutan, Petik di kebun pak selamat, Takhta kedudukan menjadi rebutan, Ini tanda hampirnya kiamat.

Teruja melihat perarakan kereta, Baju sedondon indah rupanya, Hawa nafsu mencari takhta, Rosak negara hilang identitinya. HM

Barah andai terlalu ghairah memburu takhta




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Arab Saudi Perkenalkan Robot Yang Mampu Sampaikan Khutbah Daripada Imam Dan Muazin

Majlis Peguam ‘kurang ajar’ – Zaid

Melur Untuk Firdaus kembali untuk musim ke-2, netizen tak setuju

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker