Tunggu Mummy, Daddy ‘di sana’

Tunggu Mummy, Daddy ‘di sana’

Ampang Jaya: “Adam tunggu Mummy dengan Daddy dekat sana ye. Terima kasih pernah menyerikan hidup kami walaupun untuk beberapa bulan. Allah lebih sayangkan Adam,” itu luahan Mohd Amiruddin Tumijan, 31, yang membuat hantaran di Facebooknya semalam, selepas kehilangan anak bongsunya, Putra Adam Amsyar Muhammad Amiruddin, berusia empat bulan.

Petang kelmarin, Putra Adam Amsyar meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas selepas mukanya tertutup dengan kain lampin ketika berada di dalam buaian di rumah pengasuhnya di sebuah kondominium di Taman Cempaka di sini.

Sementara itu, Mohd Amiruddin berkata, sejak dua bulan lalu, dia menghantar Putra Adam Amsyar ke rumah pengasuh terbabit yang berdekatan dengan kediamannya.

Katanya, dia mengenali pengasuh itu selepas membuat carian di laman sosial Facebook.

Dia dan isteri menghantar Putra Adam Amsyar kepada pengasuh itu sementara mereka keluar bekerja.

“Saya masih tidak tahu cerita sebenar bagaimana anak meninggal dunia. Cuma saya dimaklumkan yang anak meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Ampang.

“Pada masa sama, kami pada mulanya menyangka pengasuh adalah orang tempatan kerana cara percakapannya seperti orang kita.

“Saya hanya mengetahui yang wanita itu adalah warga asing selepas polis menahannya malam tadi (semalam),” katanya kepada Harian Metro semalam.

Menurut Mohd Amiruddin, anaknya itu menghidap masalah Gerd sejak lahir dan masih menerima rawatan pakar di Hospital Sungai Buloh.

“Selain anak kami, pengasuh terbabit juga ada menjaga anak orang lain,” katanya yang mempunyai dua lagi anak perempuan.

Sumber pula berkata, sebelum kejadian, pengasuh memberikan susu kepada mangsa dan meletakkan lampin di bawah kepala dan sisi leher bayi itu untuk mengelap susu sekiranya dia muntah.

“Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, pengasuh terbabit mendapati, kain lampin itu berada di muka mangsa malah wajah bayi itu juga pucat selain sesak nafas.

“Pengasuh terbabit kemudiannya membawa bayi itu ke klinik sebelum doktor klinik berkenaan menghubungi ambulans untuk dibawa ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak pada kenyataan berkata, suspek yang juga warganegara Indonesia berusia 26 tahun sudah direman semalam, bagi membantu siasatan.

“Terdahulu, pegawai perubatan Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Ampang menerima pesakit yang juga bayi berusia empat bulan pada jam 6.30 petang semalam (kelmarin).

“Pesakit dibawa daripada sebuah klinik di Pandan Indah dengan ambulans Hospital Ampang. Bagaimanapun, tiba di Hospital Ampang, pesakit disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut beliau, petugas hospital turut memberikan bantuan kecemasan namun bayi itu dipercayai sudah agak lama meninggal dunia.

Mohamad Farouk berkata, bagaimanapun, punca sebenar kematian masih disiasat.

“Susulan itu, jam 10.30 malam tadi (semalam), anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan seorang wanita warganegara Indonesia.

“Wanita terbabit adalah pengasuh bayi itu yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

“Hasil siasatan awal, suspek memaklumkan, bayi berkenaan berada dalam keadaan sesak nafas kerana kain lampin di dalam buai berada di mukanya.

“Ketika kejadian, ibu bapa mangsa sedang bekerja manakala bayi itu dihantar ke rumah suspek untuk dijaga,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. HM

Tunggu Mummy, Daddy ‘di sana’


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ketua polis trafik mengamuk dakwa petugas media sentuh punggung isteri

Nabil Terduduk Tiket Konsert Billie Eilish ‘Burn’ Hampir RM3,000 (Video)

MYDIN Sambut Ulang Tahun Ke-65 Dengan Promosi Serendah 65 Sen

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker