Wanita pandu lawan arus langgar empat kenderaan

BUTTERWORTH: Lagi kejadian memandu lawan arus berlaku di sini kali ini melibatkan seorang wanita yang memandu kereta jenis Honda Civic di susur Lebuh Raya Utara-Selatan ke Jalan Perusahaan Perai dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, tindakan pemandu wanita terbabit turut menyebabkan tiga kenderaan lain iaitu Perodua Myvi, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora serta motosikal jenis Yamaha Y15 terlibat dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pekerja swasta berusia 31 tahun yang memandu Honda Civic itu dikatakan memandu melawan arus dipercayai untuk masuk ke lebuh raya.



Motosikal Yamaha Y15 yang turut terlibat dalam kemalangan itu.

“Akibat tindakannya itu, kereta yang dipandunya telah berlanggar dengan Perodua Myvi dan Proton Exora serta sebuah motosikal.

“Bagaimanapun mangsa yang terlibat hanya cedera dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, penunggang motosikal lelaki berusia 31 tahun cedera pada kaki manakala pemandu lain iaitu lelaki berusia 26 dan 29 tahun masing-masing mengadu sakit dada dan tiada kecederaan serius.

“Wanita yang memandu melawan arus itu cedera pada kaki dan masih dirawat di hospital,” katanya.



Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Sudah Langgar Lari, Lawan Arus Pulak [Video]



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker