Hadi perjelas langkah PAS daftar PN esok, kata Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan menjelaskan pendirian parti itu yang berada dalam jawatankuasa penaja bersama PPBM untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid berkata, beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Hadi di Slim River jam 9 malam esok sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

“Sebagaimana diketahui, kini PAS telah bersama dengan PPBM untuk mendaftarkan partinya sebagai gabungan rasmi dalam PN dan ini akan diperjelaskan esok.

“Tentunya ada mesej tertentu di mana Muafakat Nasional (MN) akan terus diperkasa dan diperkukuhkan, bukan hanya Umno dan PAS tetapi kita menggunakan pendekatan yang mana parti komponen Barisan Nasional (BN) tetap bersama,” katanya kepada pemberita hari ini.

Rabu lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu berada dalam jawatankuasa penaja bersama PPBM untuk mendaftarkan PN.

Sebelum ini, Umno membuat keputusan untuk tidak menyertai PN tetapi menyokong kerajaan PN berlandaskan sokongan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dan BN dalam pembentukan kerajaan pusat serta beberapa kerajaan negeri.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau meminta Pengerusi BN dan Umno Sabah Bung Moktar Radin mengadakan pertemuan secara menyeluruh dengan semua pihak bagi menyelesaikan pertikaian dalam kalangan kepimpinan parti di negeri itu.

“Saya tidak nampak ada permasalahan kerana mungkin ada perbezaan pendapat tetapi saya sudah minta Bung melakukan penglibatan dengan semua pihak dalam parti supaya kemenangan (Pilihan Raya Negeri Sabah) memihak kepada kita.

“Hari ini, ada mesyuarat badan perhubungan Umno Sabah dan saya akan mendapatkan maklum balas daripada beliau esok mengenai beberapa tindakan bersama yang akan kita lakukan bagi memenangkan semua calon BN,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker