Pemutihan UMNO perlu untuk elak Langkah Sheraton 2.0 berulang

KEPUTUSAN pemecatan keahlian bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa serta dua lagi iaitu Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau dan Maran sebagaimana diumumkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada Khamis, sebenarnya tidak mengejutkan.

Ia susulan prestasi terburuk UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila parti itu sekadar menawan 30 kerusi Parlimen dan terkini sekadar menang tipis di kerusi PRU tertangguh iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Rabu.

Tekanan kini pastinya terletak di atas bahu pucuk kepimpinan parti dipimpin Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merangka hala tuju kebangkitan parti itu bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal diadakan dalam tempoh kurang lima bulan lagi.

Meskipun UMNO-BN akhirnya menjadi king maker pasca PRU15 dan memilih menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, hakikatnya ‘luka’ kekalahan teruk parti itu di kerusi Parlimen beberapa negeri majoriti pengundi Melayu termasuk Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak masih lagi ‘berdarah’.

Keputusan ‘drastik’ UMNO-BN melakukan jajaran politik baharu dengan bekas seteru ketat mereka, PH juga menimbulkan keresahan akar umbi parti sehingga menyebabkan beberapa pemimpin parti berkenaan bangkit mempertikaikannya termasuk Annuar sendiri.

Kegusaran itu sebenarnya adalah bertentangan dengan pandangan sebahagian pemimpin UMNO-BN yang merasakan strategi bekerjasama dengan PH pasca PRU15 akan membolehkan mereka kembali mendapat undi Melayu, khususnya di Parlimen majoriti Melayu.

Hal itu sekali gus membolehkan UMNO-BN dengan kerjasama PH kembali menjadi koalisi parti Melayu dominan untuk mengendurkan penguasaan Perikatan Nasional (PN) di segmentasi pengundi kaum itu menjelang pelaksanaan PRN di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang (PH) serta Kedah, Kelantan dan Terengganu (PN) kelak.

Eksperimen

Akan tetapi, eksperimen di dua kerusi PRU15 tertangguh iaitu Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, menunjukkan majoriti pengundi Melayu masih menolak bentuk pakatan kerjasama BN-PH dengan PN masih berpeluang memenangi kerusi Melayu.

Mengapa berlaku penolakan sebegini? Kerana BN dan PH tidak memiliki legitimasi moral dalam membentuk kerajaan. Hujah meyakinkan pengundi bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah saranan Yang di-Pertuan Agong juga kurang mengesankan mereka.

“Secara logiknya, sebelum titah Seri Paduka Baginda mencadangkan pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan, BN sewaktu Parlimen tergantung memiliki pilihan untuk menaikkan parti mana sebagai kerajaan. Tetapi koalisi itu menongkah arus kehendak pengundi Melayu.

“Trend politik semasa ini turut menunjukkan sekiranya BN-PH dilihat gagal menjaga kepentingan kaum Melayu, pengundi segmen itu yakin dengan parti alternatif untuk mewakili politik Melayu iaitu PN ketika ini,” ujar Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi kepada Sinar Premium.

Berikutan itu, Anis Anwar tidak menolak kemungkinan terdapat gerakan kepimpinan UMNO-BN untuk menurunkan kepimpinan sedia ada sekiranya UMNO-BN masih gagal meraih keyakinan pengundi Melayu pada enam PRN negeri yang bakal diadakan tahun hadapan.

“Pada saat ini, indikator jelas orang Melayu menolak UMNO-BN disebabkan isu kepimpinan parti berkenaan. Justeru, sekiranya gerakan kepimpinan UMNO-BN itu berlaku, koalisi BN pastinya akan keluar daripada kerajaan untuk membentuk kerajaan baharu dengan koalisi kedua terbesar iaitu PN.

“Jadi tidak hairan sekiranya proses pemutihan parti sedang giat berjalan dengan lebih ramai pemimpin UMNO-BN yang menolak kerjasama BN-PH, dijangka akan diambil tindakan dalam masa terdekat,” katanya.

Namun, cabaran terbesar UMNO-BN untuk jangka masa sederhana dan panjang sebenarnya adalah bagi membuktikan dasar-dasar kerajaan dipimpin PH yang mereka sokong hari ini benar-benar menjaga kepentingan kaum Melayu Islam selain berkemampuan menguruskan kos sara hidup rakyat.

“Jika kedua-dua elemen ini gagal dan proses pembersihan UMNO-BN tidak dilaksanakan secara berhemah, tidak mustahil Langkah Sheraton 2.0 akan kembali berlaku dan ironinya kali ini ia bakal disokong majoriti masyarakat Malaysia,” tegas Anis Anwar lagi.

Perlu move on

Bagi Timbalan Speaker DUN Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar pula, proses pemecatan ahli-ahli UMNO yang bertentangan dengan Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO sebenarnya bukan satu perkara mengejutkan.

Jelas Khaidhirah, hal ini memandangkan langkah sama turut diambil selepas kerajaan BN tumbang pada PRU14 dengan ramai pemimpin UMNO di peringkat akar umbi yang dilihat menyokong parti lawan akan dikeluarkan atau dihitamkan daripada senarai keahlian parti.

“Cuma proses pemecatan ahli kali ini agak ‘luar biasa’ kerana membabitkan pemimpin-pemimpin UMNO yang pernah berjasa dengan parti seperti Annuar sendiri.

“Di sebalik tindakan itu, saya lihat semua ahli parti dan pemimpin UMNO perlu move on dan moving forward daripada kontroversi berkenaan kerana parti sebenarnya mendepani cabaran sangat besar dalam setiap pilihan raya mendatang,” kata Ahli MKT UMNO itu.

Khaidhirah turut menyeru pucuk kepimpinan UMNO-BN agar melaksanakan satu bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar prestasi terburuk koalisi itu dalam sejarah PRU negara ini.Dengan BN masih belum memuktamadkan formula mendepani pilihan raya mendatang sama ada akan terus kekal bekerjasama dengan PH atau kembali bergerak solo sebagaimana pasca kejatuhan kerajaan PN, beliau melihat keperluan parti mendapatkan ubat yang betul bagi merawat kesakitan dihadapi mereka ketika ini.

“Ada yang kata walaupun BN hanya menang 30 kerusi Parlimen, koalisi itu tidak benar-benar jatuh terduduk di lantai dan baru jatuh atas sofa kerana BN masih berupaya menjadi sebahagian parti kerajaan meskipun terpaksa bekerjasama dengan PH pasca PRU15.

“Namun saya melihat kita tidak boleh dibuai lena di atas sofa kita duduki sekarang kerana segmentasi pengundi menyokong kita hakikatnya sudah dua kali beralih sokongan kepada parti lawan dalam dua PRU berturut-turut.

“Asas paling penting adalah BN dan PH perlu mencari satu naratif politik baharu bagi menjayakan inisiatif kebolehpindahan undi penyokong kedua-dua koalisi itu antara satu sama lain secepat mungkin,” tegas Khaidhirah.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


‘Content’ melampau! Sebagai mentor Raja Viral, Pak Nil kesal

Muhyiddin geram! Tindakan akan diambil kepada bekas Ahli Parlimen Bersatu Sabah

Bersatu akan tetap ‘mati’ di Sabah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker