Ikutlah jalan Rasulullah SAW

Ikutlah jalan Rasulullah SAW

oleh Mohd Shahrizal Nasir

Kita adalah umat Rasulullah SAW, meskipun tidak pernah menatap wajah Baginda. Bertemu mata dengan Rasulullah SAW di atas dunia ini bukanlah prasyarat untuk menjadi umatnya. Perkara paling utama untuk menjadi umat Baginda selepas beiman kepada Allah SWT ialah dengan mengimani kerasulannya, melaksanakan petunjuknya dan menyebarkan Islam kepada orang lain.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Nabi Muhammad ialah Rasulullah; dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap golongan kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)…” (Surah al-Fath, ayat 29)

Sesungguhnya Allah SWT memilih insan bernama Muhammad untuk menjadi rasul yang menerima wahyu Ilahi dan menyebarkannya kepada manusia. Betapa besar rintangan yang dilalui oleh Baginda, bukan sahaja oleh orang luar namun turut melibatkan ahli keluarga Baginda sendiri yang menolak ajaran Islam. Rasulullah SAW pernah dihina oleh masyarakat sekeliling malah darah Rasulullah pernah mengalir keluar daripada tubuhnya kerana penolakan penduduk Ta’if terhadap Islam.

Hari ini kita menerima nikmat Islam. Kita beriman dengan agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW, tanpa kita menyaksikan sendiri pengorbanan baginda. Kita rasai nikmat perjuangan Rasulullah SAW yang mahukan umatnya bahagia di dunia dan akhirat.

Islam tidak hilang di atas muka bumi selepas kewafatan Rasulullah SAW, sebaliknya terus subur dan dipelihara oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Ma’idah, ayat 3)

Kita perlu sedar Rasulullah adalah insan istimewa yang menjadi pilihan Allah SWT dalam urusan agama. Meskipun kita tidak pernah menemui Baginda, namun kecintaan kita kepada Baginda mestilah melebihi kecintaan kita kepada sekalian manusia lain. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak sempurna iman salah seseorang di antara kamu sehingga aku (Rasulullah) lebih dicintainya daripada bapanya, anaknya serta serta seluruh manusia.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Mungkin ada pihak yang menganggap tokoh agama yang mereka kagumi itu adalah yang terbaik. Ingatlah bahawa kedudukan Rasulullah SAW mestilah mengatasi ketokohan sesiapa sahaja daripada kalangan manusia. Usah terlalu taasub sehingga akhirnya si guru tersebut sentiasa berada dalam hati mereka melebihi ingatan terhadap Rasulullah SAW. Agama Islam diturunkan menerusi wahyu secara langsung kepada Rasulullah SAW. Justeru Baginda adalah insan paling berautoriti mengenai Islam dari awal penurunannya sehingga ke Hari Kiamat.

Ingatlah apabila bercakap tentang Islam, sekiranya kita rasa ada insan lain yang lebih hebat daripada Rasulullah, atau ada tokoh lain yang dekat di hati selain Rasulullah atau ada kata-kata orang lain yang lebih dipercaya daripada kalam Rasulullah, percayalah ada sesuatu yang tidak kena dalam diri kita. Cintailah Rasulullah SAW melebihi insan lain dan sebarkanlah sabda Baginda yang kesemuanya menjelaskan Islam.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (Rasulullah), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 31)

Pada masa sama, Rasulullah SAW sendiri melarang sahabat untuk berlebihan dalam menyanjungi Baginda. Hal ini bukan bermakna kita boleh memandang rendah kepada Baginda, namun maksud yang perlu difahami ialah tentang adanya batasan yang perlu dipatuhi tatkala menyanjung atau memuji manusia selain daripada Rasulullah SAW.

Sabda baginda SAW dalam hadisnya bermaksud: “Janganlah kalian menyanjung aku (Rasulullah) secara berlebihan, sebagaimana kaum Nasrani menyanjung Isa bin Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Cabaran akhir zaman ini menunjukkan ada usaha dilakukan oleh pihak tertentu yang cuba mengelirukan umat Islam. Timbul beberapa ajaran sesat yang menolak hadis Rasulullah SAW yang merupakan antara sumber berautoriti dalam pendalilan hukum-hakam Islam. Ada ajaran sesat yang berusaha menyebarkan keraguan tentang kesahihan status hadis-hadis Rasulullah SAW dengan melemparkan tuduhan palsu terhadap jalur periwayatan (sanad) hadis yang sampai kepada kita pada hari ini.

Pandangan meleset sesetengah pihak yang mengatakan bahawa umat Islam hari ini tidak boleh memahami hadis secara terus juga boleh menimbulkan persepsi kata-kata Rasulullah SAW sukar untuk difahami oleh manusia. Ini bertentangan dengan mukjizat Rasulullah SAW yang menunjukkan sabda Baginda adalah fasih, jelas dan mudah difahami. Memang benar, orang awam perlu bergantung kepada penjelasan alim ulama dalam memahami nas hadis namun keadaan tersebut tidak boleh menjadikan umat Islam tidak yakin untuk berinteraksi (mengambil manfaat) dengan hadis Rasulullah SAW atau tidak menjadikan hadis sebagai pegangan penting dalam urusan agama.

Meskipun Rasulullah SAW berketurunan Arab dan hadis Baginda kesemuanya dalam bahasa Arab tetapi kandungan sabda Baginda tidak boleh diletakkan pada kedudukan yang sukar untuk difahami. Kesukaran untuk memahami nas hadis boleh menyebabkan orang awam menjauhi hadis Rasulullah SAW sehingga akhirnya dikhuatiri boleh merendahkan kepentingan dan kedudukan hadis.

Kekangan untuk memahami hadis Rasulullah perlu diatasi dengan sentiasa mencari jalan untuk menimba ilmu daripada kalangan alim ulama. Seseorang tidak akan dapat mendirikan solat sekiranya tidak berusaha memahami hadis Rasulullah SAW tentang tatacara pelaksanaan solat. Itulah kepentingan hadis yang tidak boleh disangkal. Oleh itu, pandangan seorang pelopor ajaran sesat yang mengatakan tidak ada dalam al-Quran penerangan tentang Rasulullah SAW menaiki binatang Buraq ketika peristiwa Isra’ dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa lalu beliau menolak fakta tersebut adalah berpunca daripada penolakannya terhadap hadis.

Jelaslah bahawa seseorang akan tergelincir ke lembah kesesatan sekiranya menolak kedudukan hadis dalam Islam. Kesan buruknya pula menyebabkan seseorang akan menjadikan ‘individu’ tertentu sebagai contoh ikutan dan menolak kedudukan Rasulullah sebagai utusan Allah. Walau apapun dakyah yang datang, pastikan Rasulullah SAW tetap menjadi contoh ikutan dengan sabdanya diiktiraf sebagai paling berautoriti dalam Islam selepas al-Quran.

Ikutlah jalan Rasulullah SAW, nescaya kita akan menemui keredaan Allah. “Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku, aku dan orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (daripada segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku daripada golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuf, ayat 108)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Ikutlah jalan Rasulullah SAW


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kapal Layar Mewah Milik Siapa Bernilai RM200 Juta? [VIDEO]

Tembelang Pengkid ‘Mohd Syahid’ Pecah

Ahli Parlimen Bersatu sedar tiada peluang untuk menang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker