Kamal Affandi percaya Zalina tak jauh

Kamal Affandi percaya Zalina tak jauh

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim percaya Zalina Azman, 58, masih berada dalam parameter lokasi terakhir beliau dilihat termasuk tempat yang memberi makna tertentu kepada dirinya, berdasarkan maklumat viral yang mendakwa bekas personaliti TV3 itu ditemui.

Kamal Affandi berkata, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku ke atas Zalina termasuk dalam aspek kesihatan atau terjadi sesuatu insiden yang membawa kepada kehilangannya.



“Hendak menebak subjek dilarikan orang lain, kita tidak boleh cakap. Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku termasuk faktor kesihatan subjek (Zalina).

“Kemungkinan subjek ada penyakit tertentu juga sukar dipastikan. Kemungkinan berlaku insiden di mana beliau terhantuk sesuatu objek hingga hilang ingatan atau amnesia sama ada secara kekal atau sementara.

“Tetapi seperti dakwaan yang tular sebelum ini, ciri lain berkemungkinan ditunjukkan subjek seperti rasa takut seperti ‘lost’ dan berdiri lama di sesuatu lokasi memikirkan sesuatu,” katanya kepada BH Online.

Kamal Affandi berkata, berdasarkan dakwaan orang ramai yang tular, Zalina berkemungkinan masih hidup sehingga dibuktikan sebaliknya.



“Cerita yang tular termasuk yang memberi bayangan tertentu dan apa yang dipakai subjek perlu dilihat secara positif sehingga ada penemuan bertentangan.

“Cuma hingga sekarang, orang yang dicari belum ditemui. Jadi, tak boleh beri macam-macam spekulasi.

“Disebabkan maklumat yang kabur, itulah puncanya sesetengah kes di mana ramai yang tokok tambah konon wujud cerita mistik seperti diculik bunian, makhluk asing atau UFO di ruang udara… Itu sudah jadi kes lain,” katanya.

Kamal Affandi berkata, secara umum laporan kehilangan individu berpunca banyak sebab.



“Ada yang hilang kerana melarikan diri daripada sesuatu perkara atau tindakan, hilang ingatan dan cubaan melupakan sesuatu.

“Ada juga yang hilang kerana menjadi mangsa penjenayah. Tidak ketinggalan, ada yang menghilangkan diri atau dilaporkan kehilangan itu kerana memilih untuk tidak ditemui atau dikesan. Ini atas sebab mungkin tidak mahu menjadi beban orang lain.

“Ada juga kes hilang yang berpunca subjek mengalami penurunan fungsi (degeneratif) pada sel saraf termasuk otak. Contohnya, nyanyuk atau pelupa.

“Subjek ini ada kalanya tampak normal macam orang lain, tapi sebenarnya mengalami situasi atau penyakit seumpama itu,” katanya.



Kamal Affandi mengakui kehilangan Zalina mengejutkan ramai pihak.

“Apa yang saya boleh katakan dari tarikh dia dilaporkan hilang, iaitu sejak November tahun lalu, siri tindakan dilakukan pihak berkuasa amat konsisten dengan protokalnya.

“Seperti yang kita baca dalam laporan akhbar dan portal, Zalina tidak melakukan pergerakan ke luar negara atau menerima rawatan perubatan di mana-mana hospital.

“Malah, nombor telefon tidak aktif sejak dilaporkan hilang. Hasil siasatan diperoleh menunjukkan polis melakukan pelbagai usaha untuk mengesan Zalina.



“Ini termasuk saling bertukar maklumat dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan syarikat telekomunikasi,” katanya.

Kamal Affandi berkata, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah diberi perhatian khusus berbanding orang dewasa setiap kali berdepan kes kehilangan orang awam.

Antara tindakan diambil termasuk mewujudkan sistem amaran, NUR (National Urgent Response) Alert bagi memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, keganasan dan eksploitasi.

“Daripada 991 kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak 2010 hingga April lalu, hanya sembilan orang belum ditemui.



“Kes kanak-kanak yang tidak ditemui itu contohnya hilang di hutan, jatuh sungai dan macam-macam lagi,” katanya.

Menjawab isu dibangkitkan berhubung masa diambil polis untuk menyiasat kehilangan Zalina, Kamal Affandi percaya dan yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melakukan yang terbaik.

“Pada akhirnya, nyawa yang hilang itu paling utama. Banyak tapisan dan prosedur yang dilakukan pihak berkuasa dalam menangani kes seumpama ini.

“Kalau dihebahkan awal tanpa usul periksa atau semakan tepat, ia boleh membahayakan nyawa insan yang hilang itu.

“Pihak berkuasa tidak boleh bertindak atas desakan atau gesaan orang ramai. Sebaliknya, nyawa mangsa yang jadi keutamaan.

“Saya percaya dan optimis pihak berkuasa sudah melakukan terbaik. Malah, apa yang dilaporkan media berhubung tindakan polis itu hanya sebahagian yang dikongsi secara terbuka.

“Hakikatnya, berdasarkan pengalaman saya, polis buat lebih daripada itu,” katanya.

Kehilangan Zalina atau nama sebenar, Zalina Shaharah Azman hangat diperkatakan selepas tersebar berita polis menerima laporan anak lelaki Zalina, Mikhael, 33, berhubung kehilangan ibunya pada 29 November tahun lalu.

Zalina dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital. BH

Kamal Affandi percaya Zalina tak jauh


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Siakap kayangan RM90 seekor, pemilik restoran dikenakan kompaun

Pengerusi tahfiz dikecam buat kenyataan bercanggah terhadap mangsa rogol bawah umur

MasyaAllah saya langsung tidak ingat apa-apa – Aprena Manrose

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker