Penerbit Mat Kilau janji beri bonus

Penerbit Mat Kilau janji beri bonus

Dalam industri perfileman tempatan, ‘orang kuat’ di sebalik filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan ini tidak begitu dikenali berbanding penerbit prolifik lain.

Namun, sekelip mata segala-galanya berubah sebaik filem pertama terbitannya itu ditayangkan di pawagam di seluruh negara, Singapura dan Brunei sejak 23 Jun lalu.

Tiba-tiba, nama Abdul Rahman Mt Dali tular selepas filem mengangkat perjuangan pahlawan terbilang, Allahyarham Mat Kilau Iman Rasu yang diterbitkan syarikat miliknya, Studio Kembara meraih kutipan pecah panggung lebih RM23 juta selepas seminggu ditayangkan.

Kali pertama bertemu usahawan berusia 62 tahun ini pada tayangan perdana filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, ternyata insan ini peramah dan merendah diri.

Tutur bicaranya tersusun rapi dan penuh hati-hati.

Biarpun diasak soalan panas berhubung kontroversi termasuk apa yang dikatakan rasa tidak puas hati waris Mat Kilau terhadap filem ‘box office’ itu, namun pertanyaan dijawab secara diplomasi tanpa mengguris hati sesiapa.

Justeru, tidak hairanlah andai keperibadian terpuji serta sikap merendah diri Abdul Rahman itu mencuri perhatian ramai termasuk pendakwah bebas, PU Amin seperti dikongsi di akaun Facebook (FB).

Mendekati Abdul Rahman, peneraju baharu industri filem ini mengakui kurang selesa andai perkara peribadi didedahkan kepada khalayak.

Mengulas kejayaan luar biasa filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Abdul Rahman yang juga Pengarah Urusan Studio Kembara meluahkan rasa syukur.

“Ketika mula menghasilkan filem ini, saya memang yakin ia mampu mendapat kutipan pecah panggung berdasarkan kualiti yang kami sajikan.

“Walaupun ada yang menasihatkan saya supaya tidak menghasilkan filem begini kerana susah untuk mendapat sambutan, selain kos pembikinan tinggi, namun saya teruskan juga hasrat.

“Saya yakin filem ini ada peminat kerana penonton kita berfikiran kreatif dan mempunyai cita rasa pelbagai,” katanya kepada BH Online.

Bagi menghargai penat lelah mereka yang terbabit dalam pembikinan filem ini, Abdul Rahman berjanji akan berkongsi rezeki dengan mereka melalui bonus.

“Sepatutnya, berita ini saya nak jadikan kejutan. Tetapi, apabila perkara ini sudah ditanya, saya hendak umumkan iaitu memang ada perancangan memberi bonus kepada semua individu terbabit.

“Selain itu, saya ada perancangan lain bagi memajukan seni persilatan. Saya mahu lebih ramai anak muda terbabit dalam dunia silat yang mampu menerapkan nilai positif dalam diri mereka.

“Apakah bentuk atau cara yang akan saya lakukan untuk merealisasikan hasrat itu, ia akan diberitahu kelak,” katanya yang tidak memperincikan formula agihan bonus yang bakal dinikmati kru dan pelakon filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan kelak.

Berpengalaman dalam perniagaan perkhidmatan hospital, Abdul Rahman adalah pemilik merangkap Pengarah Urusan, Pusat Perubatan Islam, Az-Zahrah serta membuka rangkaian klinik.

Selain itu, beliau juga menceburi perniagaan lain seperti pembangunan dan latihan serta makanan.

Sebelum ini, Amin menyifatkan Abdul Rahman mempunyai latar belakang positif dan wajar dicontohi masyarakat.

Menerusi entri yang tular, Abdul Rahman digambarkan hartawan yang menggunakan kemewahan dimilikinya ke arah kebaikan, iaitu bagi memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Dikatakan, atas prinsip itulah yang mendorong Abdul Rahman menceburi bidang perfileman, sekali gus menerbitkan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang sarat elemen itu.

Mengulas hantaran tular itu, Abdul Rahman bersetuju dengan kenyataan pendakwah terbabit berhubung soal misi dan visi dirinya menceburi dunia perfileman.

“Sejujurnya, saya tidak kenal individu yang menulis entri itu di media sosial. Mungkin apa yang ditulisnya adalah pendapat sendiri.

“Perkara ini ada kena mengena dengan kerja Allah. Saya pun tidaklah beria-ia mengulasnya kerana takut nanti hilang pula keikhlasan.

“Cuma, saya bersetuju dengan kenyataan yang menyebut hartawan sepatutnya membelanjakan wang mereka ke arah yang lebih bermanfaat. Ini kerana duit boleh menyebabkan kita masuk syurga atau sebaliknya.

“Terpulang bagaimana cara kita membelanjakan wang,” katanya.

Mengukuhkan lagi kenyataan, Abdul Rahman memberitahu, hasrat berbakti hanya dapat dilaksanakan jika dia turun padang menerbitkan filem seperti itu.

“Memang Itulah pendirian kami ketika mula-mula menubuhkan syarikat produksi Studio Kembara sembilan tahun lalu. Kami mahu mengisi lompang yang wujud dalam industri perfileman tempatan.

“Kita kekurangan filem yang mengambil inspirasi daripada kisah benar. Filem sebegini mampu mencetuskan semangat baharu kepada penonton.

“Disebabkan itu, dalam skrip filem ini, kita selit unsur fiqah dan kalimah yang meminta untuk menjaga agama, bangsa serta mempertahankan tanah air tercinta

“Jika diberikan rezeki, insya-Allah, pada masakan datang, Studio Kembara akan terus menghasilkan karya yang mampu memberi hiburan bermanfaat iaitu mengukuhkan semangat patriotik dan keimanan terhadap bangsa Melayu.

“Ini sangat penting supaya mereka menjadi bangsa yang akan terus ke depan, sekali gus dapat mengembalikan kehebatan serta kegemilangan seperti yang pernah mereka kecapi, suatu ketika dahulu,” katanya yang menubuhkan syarikat produksinya itu pada 2013.

Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diterbitkan Studio Kembara dan Skop Production Sdn Bhd dengan kos dilaporkan RM8 juta.

Menjalani penggambaran selama 100 hari di Perak, Pahang, Melaka dan Selangor. Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari dan Yayan Ruhan. BH

Penerbit Mat Kilau janji beri bonus


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Puteri Sarah saman Ira Kazar

Pelanggan kecewa terima kentang goreng berkulat, masam

UMNO bertindak betul gugurkan Tajuddin – Penganalisis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker