Agensi tawar badal haji palsu akan disenarai hitam

Agensi tawar badal haji palsu akan disenarai hitam

Agensi pelancongan, haji dan umrah yang menawarkan perkhidmatan badal haji palsu atau mengelirukan boleh disenarai hitam sekiranya didapati bersalah melanggar syarat perkhidmatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pengguna yang diperdaya agensi terbabit juga boleh memfailkan tuntutan terhadap agensi itu menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).



Selain TTPM, katanya, pengguna juga boleh membuat laporan kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Pengguna yang mendapati operator perkhidmatan haji atau umrah telah melanggar syarat perkhidmatan yang ditetapkan, boleh memfailkan tuntutan tebus rugi terhadap operator itu sama ada kepada TTPM di bawah KPDNHEP, atau kepada JAWHAR di bawah MOTAC.

“Sekiranya mana-mana operator haji atau umrah didapati melanggar syarat kontrak mereka terhadap pengguna berkenaan, TTPM akan mengeluarkan ‘award’ atau bayaran ganti rugi.

“TTPM kemudian akan memaklumkan kepada MOTAC untuk tindakan selanjutnya, iaitu menyenaraihitamkan operator yang telah melanggar syarat lesen operasi mereka,” katanya kepada BH, semalam.



Beliau mengulas laporan muka depan BH semalam berhubung beberapa agensi haji dan umrah yang menawarkan khidmat mengerjakan badal haji musim ini dengan pelbagai pakej dan bayaran murah antara RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

Tawaran harga itu dilihat meragukan serta tidak sepadan disebabkan beberapa peraturan ketat ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk umrah dan haji.

Ini berikutan untuk mengupah penduduk bermastautin di Arab Saudi melakukan ibadah itu, mereka perlu mempunyai permit untuk memasuki Arafah dengan bayaran SR12,000 (RM14,000) seorang berbanding sebelum ini SR2,500 (RM2,900) saja.

Selain itu, terdapat gelang khas yang perlu dipakai jemaah haji untuk melepasi pintu di Arafah bagi mengelakkan lambakan jemaah haji di situ.



Badal haji bermaksud ibadah haji yang diupahkan kepada seseorang untuk dilaksanakan sebagai ganti kerana halangan tertentu seperti sakit, usia tua (uzur) atau kematian ke atas orang yang seharusnya mengerjakan haji.

Orang yang melaksanakan haji badal pula disyaratkan sudah melaksanakan haji untuk dirinya terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Alexander memaklumkan, KPDNHEP mempunyai kuasa menyiasat jika terdapat aduan berkaitan urusan perkhidmatan badal haji mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Fokus siasatan mengikut bidang kuasa KPDNHEP, termasuk penipuan perkhidmatan, pernyataan palsu atau yang mengelirukan berhubung perkhidmatan berkenaan dan pernyataan palsu atau yang mengelirukan dalam iklan dikeluarkan,” katanya.



Siasatan wartawan BH dengan menghubungi beberapa agensi yang menawarkan khidmat itu di sekitar ibu negara mendapati, mereka menawarkan pelbagai pakej serta potongan harga untuk menarik orang ramai.

Pakej itu termasuk upah haji, upah umrah, korban di Makkah, air Zam Zam percuma, wakaf al-Quran selain diberikan sijil.

Ada agensi yang menawarkan potong harga di antara RM500 hingga RM700 bagi 100 pelanggan terawal mendaftar.

April lalu, Arab Saudi menetapkan kuota haji bagi tahun ini (musim 2022) adalah satu juta yang mana 85 peratus daripadanya dibuka untuk jemaah luar.



Berikutan penetapan itu, kuota haji Malaysia tahun 2022 hanya seramai 14,306 jemaah iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, dilaporkan berkata jumlah kuota ditetapkan Arab Saudi untuk jemaah haji Malaysia boleh dianggap sebagai satu faktor penghalang untuk seseorang melaksanakan badal haji di Tanah Suci. BH

Agensi tawar badal haji palsu akan disenarai hitam


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Sharnaaz peluk erat anaknya selepas 3 hari dalam lokap

“Minta Maaf Syamsul”… Syamsul Berjaya Cari Wartawan mStar, Bersemuka Isu Tajuk Artikel [VIDEO]

Durian J. Sparrow, Jerai dari Kedah setanding musang king

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker